KOTA KINABALU:Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH-Plus menegaskan komitmennya dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat, termasuk bekalan air, elektrik, infrastruktur, dan pembangunan ekonomi, walaupun berdepan pelbagai tuduhan daripada pihak pembangkang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kota Kinabalu, Mohd Bahrin Abd Karim berkata, dakwaan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan kerajaan negeri gagal menyelesaikan masalah asas rakyat adalah tidak tepat dan bersifat retorik politik.
Katanya, Kerajaan Negeri mengakui cabaran dalam isu bekalan air bersih di Sabah dan telah mengambil langkah proaktif jangka pendek dan jangka panjang untuk menyelesaikannya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif, termasuk penyelenggaraan dan naik taraf loji-loji rawatan air, membina logi rawatan air baharu sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan besar bagi mempercepatkan penyelesaian masalah ini.
“Perlu diingat bahawa masalah kemudahan asas seperti bekalan air yang dihadapi oleh rakyat Sabah sekarang ini, merupakan masalah yang diwarisi daripada era pentadbiran kerajaan lalu termasuk era Warisan.
“Semasa era pentadbiran lalu, mereka gagal menyelesaikan masalah-masalah tersebut dan ianya diwariskan sehingga era Kerajaan GRS-PH Plus. Namun dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Kerajaan Negeri melakukan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini”, katanya dalam kenyataan,hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Bung yang mendakwa kerajaan GRS gagal menyelesaikan masalah asas rakyat.
Mohd Bahrin berkata, pemadaman elektrik di Sabah bukanlah isu baharu, namun kerajaan negeri sedang melaksanakan langkah-langkah bagi memperkukuh sistem tenaga.
Menurutnya, usaha ini termasuk pembangunan projek penjanaan baharu serta peralihan kepada tenaga hijau sebagai penyelesaian jangka panjang.
Katanya, dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, GRS telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur, termasuk pembinaan jalan raya dan projek Pan Borneo yang kini berada dalam fasa kritikal pelaksanaannya.
“Jalan kampung serta luar bandar juga terus dinaik taraf secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan rakyat”, tegasnya.
Mohd Bahrin berkata, Sabah kini menjadi antara destinasi utama pelaburan di Malaysia, dengan usaha menarik pelaburan asing dan domestik yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata, program latihan dan keusahawanan turut diperluaskan bagi membantu rakyat meningkatkan kemahiran serta daya saing.
Menurutnya, Kerajaan GRS menegaskan bahawa sebarang kelemahan yang wujud sedang ditangani dengan usaha berterusan, bukannya sekadar dijadikan modal politik seperti yang dilakukan oleh parti pembangkang.
“Rakyat Sabah bijak menilai antara realiti dan retorik politik. Kerajaan negeri akan terus berusaha untuk kemajuan Sabah dan tidak sekadar berjanji kosong. ,” katanya.
Deasoka