Empat Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dirancang tahun ini

Empat Karnival Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dirancang tahun ini

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) merancang untuk mengadakan empat Karnival Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana pada tahun ini.


Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Thomas Logijin berkata karnival itu akan diadakan di Tawau, Tuaran, Kudat dan Keningau.
Dalam taklimatnya sempena lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke MIDE, Logijin berkata sebanyak 8,031 usahawan PKS pada masa ini berdaftar dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR),MIDE.


Beliau berkata pelbagai program telah dirangka untuk membantu PKS di Sabah, seperti program SME-Up, kursus pembangunan usahawan, Kempen Beli Produk Sabah, pemasaran dan promosi produk PKS Sabah di pasar raya tempatan,Bataras, Kedai Mesra Petronas dan SMEs Product Centres.


Beliau berkata kementerian juga telah mengenal pasti 87 usahawan untuk menyertai pelbagai bidang perdagangan dan ekspo dunia di luar negara untukmemasarkan produk mereka ke pasaran antarabangsa pada tahun ini.


Sebagai mengakhiri lawatan kerjanya ke semua kementerian di negeri ini, Hajiji memuji usaha MIDE dalam membawa pelaburan asing dan domestik ke Sabah termasuk untuk menjana pendapatan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“Kementerian ini penting kerana ia menjana pendapatan negeri, dan berdasarkan kepada taklimat hari ini, nampaknya mereka amat bekerja keras selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.


“Apa yang penting, semua perancangan mesti dilakukan secara sistematik, dan pada masa yang sama, ia bukan saja menguntungkan syarikat yang lebih besar tetapi juga untuk PKS,” katanya.


Ketua Menteri mahu MIDE terus memberi tumpuan untuk membangunkan PKS tempatan dan membantu mereka mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|