KOTA KINABALU: Tindakan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei ibarat “jerat makan tuan” apabila beliau mengaku tidak bersalah dalam pertuduhan memberi rasuah kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Aktivis masyarakat dan pemerhati politik tempatan, Aksyah Nasrah menyifatkan pengakuan itu sangat bertentangan dengan kenyataan-kenyataan terdahulu oleh Albert yang secara terbuka mengakui pernah menyalurkan wang kepada beberapa wakil rakyat, termasuk dalam pelbagai platform media.
“Agak melucukan apabila Albert Tei tiba-tiba menukar nada dan mengaku tidak bersalah, sedangkan sebelum ini dia sendiri mengakui memberi ‘dana’ yang kini mahu ditafsirkan semula sebagai rasuah,” katanya dalam perkongsiannya di media sosial Facebook.
Beliau berkata, kenyataan Albert dalam sidang media terbarunya lebih menjurus kepada usaha menimbulkan persepsi negatif terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Beliau cuba menggambarkan dirinya sebagai mangsa, bahkan menyentuh soal keselamatan diri seolah-olah nyawanya kini terancam. Itu keterlaluan dan mengundang persoalan-adakah beliau berhalusinasi?” soalnya sinis.
Aksyah turut membidas tindakan Albert yang cuba mengheret nama Ketua Menteri ke kancah kontroversi, sedangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sendiri telah menjelaskan bahawa Hajiji tidak terlibat dalam sebarang salah laku berkaitan isu tersebut.
“Tindakan beliau ini ibarat cuba menutup kegagalan sendiri. Lesen melombong mineral yang dipohon tidak diluluskan, lalu beliau memilih untuk mencetus drama dan simpati awam dengan memainkan isu ‘dana’ yang kononnya kini dianggap rasuah,” tegasnya.
Aksyah juga menyifatkan tindakan Albert sebagai cubaan memalit imej pemimpin dan ADUN kerajaan negeri dengan niat merosakkan reputasi serta kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran.
“Daripada terus mencetus kekeliruan, lebih baik fikirkan hal yang memberi manfaat kepada rakyat – seperti membanteras tikus di bandar, sebagaimana tawaran yang dibuat pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Itu lebih berguna daripada melayan sandiwara seorang penjarah hasil negeri,” katanya.
Albert Tei sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 atas tuduhan memberi rasuah kepada beberapa ADUN sebagai sogokan untuk mendapatkan kelulusan lesen melombong mineral. Namun, beliau mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Aksyah menyimpulkan bahawa tindakan licik Albert kini memakan diri sendiri.
“Gerakannya cukup licik, tetapi tidak cukup pintar. Akhirnya dia sendiri yang terperangkap. Mungkin dia terlupa mengenakan topeng saktinya kali ini,” sindirnya.
Deasoka