KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji komitmen Kumpulan Kibing dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada 700 lagi rakyat Sabah melalui program pengambilan pekerja terbarunya yang bermula pada bulan Mei.
Beliau berkata pengambilan baharu itu bakal menambah kepada jumlah 1,625 rakyat Sabah yang sudah bekerja dalam pelbagai jawatan pengurusan, kejuruteraan, teknikal dan operasi di Kumpulan Kibing.
“Ini membentuk lebih daripada 83 peratus daripada jumlah tenaga kerja Kumpulan Kibing. Perkembangan positif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti tempatan kita tetapi juga memupuk kemakmuran bersama. Syabas dan terima kasih,” katanya pada majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Kibing di kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini semalam.
Sebelum itu, Ketua Menteri telah dimaklumkan bahawa Kumpulan Kibing akan memulakan kempen pengambilan pekerja baharu melalui kerjasama dengan Sekretariat SMJ dari 13 Mei hingga 23 Mei di pejabat daerah Ranau, Tuaran, Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan Penampang.
“Saya juga ingin menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan anak-anak Sabah untuk peluang pekerjaan dan ingin menyarankan semua pemain industri untuk tidak hanya mengupah anak Sabah dalam tenaga kerja mereka tetapi juga melabur dalam latihan dan perkembangan mereka.
“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi tuntutan industri,” katanya.
Hajiji berkata ia adalah merupakan satu detik peristiwa yang amat bermakna apabila Kumpulan Kibing memulakan pembinaan kilang pembuatan kaca solar berteknologi tinggi bernilai RM2.5 bilion di Sabah pada tahun 2022.
“Hari ini, kehadiran Kumpulan Kibing bukan sahaja satu usaha transformasi untuk Sabah tetapi juga merupakan bukti kejayaan Kerajaan Negeri dalam meneruskan projek-projek berimpak tinggi untuk kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Deasoka