KUALA LUMPUR: Seramai 13,550 orang pelajar Sabah menerima manfaat daripada tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak tahun 2021 hingga 2024, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, atas komitmen terhadap bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah, Kerajaan Negeri terus menambah dana untuk BKNS sehingga mencatat jumlah tertinggi iaitu RM128 juta pada tahun ini, peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding tahun 2020.
“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada bulan Oktober 2020, peruntukan untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada tahun 2020, meningkat kepada RM55 juta pada 2021, seterusnya RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada tahun 2024”, katanya pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di KLCC Convention Centre pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Arifin Mohd.Arif, yang juga Exco Pendidikan dan Agama.
Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarnya pada tahun 2022 telah memberi manfaat kepada seramai 7,483 orang pelajar daripada golongan B40 yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, melibatkan peruntukan sebanyak RM8.6 juta.
Menurutnya, bagi memperkasa lagi bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan pada tahun ini, selain ditambah baik untuk membantu pelajar secara keseluruhannya.
Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat Ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di peringkat Diploma atau Matrikulasi.
Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu RM200 kepada pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM, selain Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Deasoka