Transformasikan industri getah, tingkat harga jualan: Riduan

Transformasikan industri getah, tingkat harga jualan: Riduan

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu mengadakan nilai tambah dan transformasi dalam industri getah bagi memastikan harga komoditi itu lebih kompetetif, kata Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Katanya, kejatuhan harga getah kepada sekitar RM 2.80 pada ketika ini telah mengakibatkan ramai penoreh getah enggan untuk meneruskannya sehingga beralih ke tanaman lain yang mengakibatkan negara mengalami kerugian kira-kira RM 2.3 bilion kesan daripada tiada output getah dihasilkan daripada ladang berkeluasan 425,000 hektar.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada harga getah yang dipengaruhi oleh orang tengah serta harga pasaran dunia yang sukar dikawal oleh kerajaan.

“Justeru Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk memperkasa sektor industri pembuatan getah tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran tayar jenama tempatan seperti yang dilakukan oleh kerajaan menerusi pelaksanaan dasar automotif negara yang telah berjaya menghasilkan Proton.

“Usaha perlu dilakukan bagi menghasilkan tayar jenama tempatan bagi memastikan berlakunya ‘game changer’ atau pun transformasi industri getah agar ianya terus kekal berdaya saing di peringkat global”, katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Titah Ucapan Diraja pada Penggal Ketiga, Parlimen Yang Kelima Belas di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Khamis.

Menurut Riduan, mekanisma yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan ialah menerusi suntikan dana atau pinjaman daripada pihak kerajaan kepada pengusaha industri dan pengeluaran produk berasaskan getah.

Katanya, perkara ini telah dilaksanakan oleh Kerajaan Thailand pada tahun 2016 menerusi pinjaman berjumlah 15 bilion bhat atau sekitar RM 1.78 bilion berdasarkan kadar semasa pada waktu itu kepada sektor pembuatan sarung tangan, tayar dan produk getah.

“Pinjaman ini diberikan dengan syarat yang dikenakan adalah para pengusaha industri getah perlu menggunakan empat tan getah setiap tahun bagi satu juta bhat (RM 119,000) dalam pinjaman mudah.

“Saya percaya inisiatif seperti ini mampu meningkatkan penggunaan getah domestik dan secara tidak langsung akan berupaya meningkatkan harga getah kepada kadar yang lebih kompetetif”, tegasnya.

Beliau bimbang sekiranya tiada tindakan diambil oleh kerajaan dengan kadar segera, ianya akan mengakibatkan industri itu akan terkubur suatu hari nanti, kesan daripada tindakan pekebun getah yang akan beralih kepada tanaman yang lebih menguntungkan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|