Tangkapan, rampasan Zon Maritim Tawau meningkat

Tangkapan, rampasan Zon Maritim Tawau meningkat

TAWAU: Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, statisik tangkapan dan rampasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau meningkat berbanding tahun lalu.

Katanya,sehingga 30 April tahun ini, pihaknya telah menangani sebanyak 74 kes daripada pelbagai akta dan kesalahan di perairan daerah ini.

Beliau berkata, jumlah itu melebihi kejayaan yang dilakukan pada tahun lepas iaitu keseluruhan sebanyak 68 kes tangkapan dan rampasan.

“Kejayaan itu adalah hasil kaedah pengoperasian yang telah ditambah baik oleh Zon Maritim Tawau sehingga memberikan impak positif terhadap semua operasi yang dilaksanakan.

“Kaedah terbaharu ini berjaya melumpuhkan dan menumpaskan modus operandi terutamanya penyeludupan barang kawalan dan pendatang tanpa izin (PTI),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Zon Maritim Tawau, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama (M) Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 70 peratus kes yang diperolehi adalah hasil kesalahan penyeludupan barang kawalan ke negara jiran.

“Kita dapati ramai penyeludup menggunakan modus operandi membawa barang kawalan secara berlebihan disyaki untuk di seludup ke negara jiran.

“Anggaran rampasan yang dilakukan sepanjang tahun ini hampir mencecah RM1 juta termasuklah melibatkan sitaan kapal,” katanya.

Mengulas mengenai majlis itu pula, Shahrizan berkata seramai 421 warga Zon Maritim Tawau berserta keluarga hadir meraikan sambutan kali ini.

“Kita mengambil kesempatan hari ini memandangkan semua pegawai dan anggota yang bercuti Hari Raya di kampung halaman sudah balik ke Tawau.

“Majlis ini juga, kita turut meraikan seramai 26 orang anak yatim daripada Rumah Anak Yatim Ar Raudhoh, Tawau dengan penyampaian sumbangan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|