Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 Sandakan mampu tampung 1,000 jenazah: Hajiji

Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 Sandakan mampu tampung 1,000 jenazah: Hajiji

SANDAKAN: Projek pembukaan Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Fasa 2 di Batu 11, dijangka dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masalah kekurangan kawasan tanah perkuburan di negeri ini merupakan isu yang sering diperkatakan, termasuk oleh masyarakat Sandakan.

“Hasil daripada lawatan kerja meninjau projek pembukaan tanah perkuburan Fasa II petang tadi, saya dapat melihat kerja-kerja pelaksanaan sedang giat dijalankan dan ia dapat menampung kira-kira 1,000 jenazah”.

“Taman Perkuburan Ar-Raudhah yang mempunyai keluasan tanah sebanyak 65 ekar dan setakat ini kira-kira 10 ekar telah dibuka untuk Fasa 1 dan Fasa 2, dengan jumlah keseluruhan yang dikebumikan di kawasan ini mencecah kira-kira 2,800 jenazah”.

“Taman Perkuburan Islam Ar-Raudhah Batu 11 ini digunakan untuk masyarakat daerah Sandakan secara keseluruhannya. Ia merupakan satu-satunya kawasan perkuburan yang dibina dengan begitu sistematik, teratur dan tersusun.

“Sementara pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula telah berjaya menguruskan kawasan itu dengan begitu baik”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Semarak Kasih Aidilfitri 2024 di Dewan Serbaguna Masjid Daerah Sandakan pada Isnin.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam.

Hajiji juga menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, terutamanya pasukan keselamatan yang tanpa jemu sentiasa menjaga keselamatan rakyat negeri ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang berpaksikan rakyat dan mengutamakan kebajikan rakyat, kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah merupakan keutamaan Kerajaan Negeri pada hari ini.

Justeru katanya, rakyat negeri ini perlu terus mengekalkan keharmonian dan persefahaman kerana kekuatan kita adalah perpaduan, yang merupakan tunjang kepada kestabilan politik negeri ini.

Beliau mengulangi komitmen Kerajaan Negeri untuk terus melakukan yang terbaik untuk Sabah dan berusaha menyelesaikan isu-isu berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan yang diwarisi oleh kerajaan sekarang.

“Kita sedang berusaha gigih untuk menangani semua ini demi rakyat dan negeri Sabah tercinta”, tegasnya.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Kebajikan Islam Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) di Dewan Masyarakat Sandakan pada pagi Isnin, Hajiji mengajak rakyat negeri ini terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian, serta menyuburkannya demi Sabah Tanah Airku.

Katanya, ini penting kerana keharmonian kaum adalah kunci kepada kesejahteraan dan kebahagiaan, sekali gus menjadi pemacu kepada kemajuan negeri.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dibawah pimpinannya telah merintis Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) sejurus mengambil alih teraju pemerintahan negeri bagi memacu pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Alhamdulilah, usaha-usaha yang kita laksanakan menerusi Hala Tuju SMJ ini sudah membuahkan hasil.

Banyak inisiatif yang dilaksanakan sudah pun memanfaatkan, dan usaha-usaha ini akan terus diperhebatkan lagi demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah”, katanya.

Hajiji berkata, majlis rumah terbuka Aidilfitri menjadi penyatu kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini amnya dan di kawasan Sandakan secara khususnya.

“Kesatuan dan perpaduan ini melambangkan betapa kita di negeri Sabah menjadi contoh dan `role model’ masyarakat Madani yang kekal hidup harmoni, walaupun berlainan fahaman, anutan dan budaya.

Ini cerminan kebersamaan yang indah di negeri Sabah, dimana kita semua sentiasa bersama-sama merayakan apa juga perayaan sama ada Hari Raya Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina dan lain-lain perayaan”, tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|