Sudah-sudahlah WARISAN, jangan hasut rakyat isu tidak bermanfaat: PERSANTUN

Sudah-sudahlah WARISAN, jangan hasut rakyat isu tidak bermanfaat: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) diminta jangan terlalu bersikap serkap jarang dengan menuduh kerajaan GRS terlibat aktiviti penyalahgunaan dana seperti yang diura-urakan sebelum ini.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah, berkata, sebaliknya WARISAN di minta melihat ‘kebobrokan’ yang pernah dilakukan mereka termasuk memberikan pinjaman kepada syarikat penerbangan sebanyak RM300 juta dan setakat ini, status pembayaran semula masih menjadi tanda tanya.

Mengenai tuduhan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa Kerajaan GRS terlibat dengan penyalahgunaan dana ‘ala’ 1MDB, sepatutnya beliau merujuk kepada pihak berwajib sebelum melakukan kenyataan di pentas politik dan bukannya bertindak keterlaluan seakan menghasut rakyat mempercayai dakwaan berkenaan

Menurutnya lagi, pada 30 Mei lalu, sebuah kenyataan daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair telah secara jelas mengatakan SMJ Energy Sdn Bhd atau SMJE tidak mempunyai percanggahan kepentingan

Mohd Sofian bahkan berkata, tiada unsur konflik kepentingan dalam pelaksanaan korporat berkenaan memandangkan SMJE, Sabah International Petroleum (SIP) dan SDB semuanya adalah dimiliki oleh Kerajaan Negeri Sabah

“Itu sebabnya mereka ini (WARISAN) perlu berhati-hati menyatakan sesuatu kerana terlalu serkap jarang.

“Mengambil contoh, ucapan Presiden WARISAN dalam satu majlis di Sabah baru-baru ini, beliau telah menuduh kerajaan GRS terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dana Sabah Development Bank (SDB) melibatkan tatakelola Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun di mana beliau kononnya telah mengenalpasti terdapat perbelanjaan mencecah RM1.2 bilion.

“Perkara ini terdahulu telah dijelaskan oleh Setiausaha Tetap MOF, Datuk Mohd Sofian di mana kenyataan rasmi beliau telah dikeluarkan pada 30 Mei lalu, akan tetapi biasalah, WARISAN tetap akan menjadikan ia isu susulan.

“Mengenai SDB pula, Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun dalam sesi perbahasan di Sidang DUN pada tahun lalu di mana meskipun bukan Kerajaan GRS yang terlibat dengan meminjam dan pinjaman tersebut, namun Kerajaan tetap komited dalam menangani perkara tersebut termasuklah mengejar peminjam-peminjam berkenaan, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya, hari ini.

Jelas Najib Tay, WARISAN dilihat semakin rancak melakukan tohmahan-tohmahan yang mengajak rakyat membenci kepada kerajaan sedangkan mereka terlupa, ketika bergelar kerajaan selama 22 bulan pun banyak permasalahan di Sabah gagal diselesaikan.

“Selain isu-isu yang saya sebutkan tadi, mereka kini sentiasa mencari modal politik yang saya sifatkan menuju kepada penyebaran naratif menjelangnya pilihan raya negeri Sabah akan datang.

“Sebagai contoh, mereka kerap menyalahkan kerajaan GRS mengenai tatakelola, permasalahan infrastruktur seperti isu jalan raya, bekalan elektrik dan air akan tetapi, kebanyakkan permasalahan tersebut diolah mengikut kemahuan mereka sedagkan mereka sedar dan tahu, soal menaik taraf, pembaik pulih dan susur galur penyelaras projek adalah datang daripada kuasa Persekutuan dan bukannya negeri.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan insiden Mahasiswa di UMS membuat perhimpunan mengenai isu air, dan ada diantaranya pemimpin WARISAN sangat menonjol menghentam Kerajaan GRS yang kononnya semuanya salah kerajaan negeri, akan tetapi mereka terlupa bahawasa ia merupakan bidang kuasa Persekutuan di mana salah seorang Ahli Parlimen mereka, pernah menjawat Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan mereka ini juga adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, jadi mereka perlu jawab sendiri perkara ini,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|