Sesi libat urus PADANS libatkan ADUN Pembangkang

Sesi libat urus PADANS libatkan ADUN Pembangkang

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya, Jabatan Ketua Menteri, semalam telah mengadakan Sesi
Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa 2.0 Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Siri 01, di Hyatt Centric, Kota Kinabalu.


Sesi libat urus itu khusus untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan Kerajaan.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan Kerajaan dan tiga lagi wakil ADUN lain menyertai sesi libat urus itu.

Mereka ialah Assaffal @ Samsul Kamal P. Alian (Tungku) dan ADUN Bongawan, Dr.Daud Yusof.

Manakala tiga orang wakil ADUN daripada kawasan DUN Sungai Manila, Sukau dan Darau.

Sesi libat urus itu diadakan susulan arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas, baru-baru ini.


Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Rosmadi Sulai telah menyampaikan perutusan dan pembentangan pengenalan Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah.


Rosmadi berkata, kerajaan negeri komited merealisasikan agenda untuk menoktahkan kemiskinan di Sabah.

Beliau memohon bantuan dan kerjasama daripada ADUN-ADUN untuk mengenalpasti senarai rakyat termiskin dan miskin tegar di kawasan masing-masing.


Katanya, sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input dan cadangan daripada semua,terutama sekali ADUN bukan parti kerajaan dari segi menambah senarai nama Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) yang tercicir dari Sistem e-Kasih di kawasan DUN masing-masing ke dalam Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Negeri Sabah (PADANS) Rosmadi berkata, sesi libat urus ini mencerminkan keterbukaan dan komitmen pimpinan
kerajaan pada waktu ini untuk membasmi kemiskinan tegar di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah menegaskan bahawa usaha-usaha dalam menoktahkan kemiskinan tegar tidak seharusnya dibatasi oleh agama, bangsa atau fahaman politik.


Sempena Sesi Libat Urus Pemurnian Data Miskin Tegar Negeri Sabah itu, ADUN-ADUN dan wakil mereka turut didedahkan dengan Sistem PADAS dan tatacara permohonan pendaftaran sistem itu bagi tujuan intervensi bantuan kelak.


Turut hadir pada sesi libat urus itu ialah Pengarah Sekretariat SMJ, Rosnih Othman dan pegawai-pegawai lain.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|