Sembilan fokus strategik: JPNS

Sembilan fokus strategik: JPNS

SANDAKAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) komited melaksanakan sembilan fokus berstrategik dalam landskap baharu pendidikan di negeri itu.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin yakin pemahaman terhadap usaha murni ini mampu membawa satu keadaan baru yang berkaitan dengan pendidikan berkualiti kepada semua murid termasuk soal peningkatan kualiti di sekolah-sekolah.

Beliau yakin penekanan terhadap landskap baharu pendidikan negeri ini akan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang asalkan semua pihak khususnya warga pendidik bersatu hati dan sepakat dalam satu pasukan mantap.

“Dalam kita membentuk landskap baharu pendidikan di Sabah ini ada tiga perkara yang kita telah rujuk, yang pertama ialah tentang hasrat besar Kementerian Pendidikan Malaysia yang kedua ialah aspirasi Sabah Maju Jaya di bawah aspirasi Sabah Maju Jaya ini ada dua perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam konteks pendidikan .. yang pertama ialah bagaimana pendidikan ini boleh membina modal insan, daripada pembinaan modal insan ini kita dapati bahawa apabila terbangunnya modal insan ini mereka mempunyai peluang yang besar untuk berada dalam pasaran pekerjaan dan ini ada kaitan dengan usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk menoktahkan kemiskinan,” katanya.

Raisin menyatakan demikian kepada pemberita semasa sidang media bersempena dengan Program Jelajah Madani ‘Landskap Baharu Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2024’ Peringkat Zon 2 (Sandakan, Beluran, Kinabatangan, Telupid, Tongod) di Dewan Chi Hwa, dekat sini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan meski pun banyak cabarannya dari segi
memberi akses pembelajaran berkualiti termasuk meningkatkan kualiti sekolah dari segi aspek akademik namun demi kemajuan sistem pendidikan negeri maka pihak jabatan komited bagi memenuhi hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Sabah di bawah slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Secara keseluruhannya apa yang Jabatan Pendidikan Sabah harapkan daripada landskap baru pendidikan negeri Sabah ini ialah usaha bersungguh-sungguh untuk memastikan bahawa kualiti sekolah-sekolah di Sabah ini dapat kita tingkatkan dan kita letakkan pada satu tempat yang, saya katakan tempat yang sewajarnya dan apabila usaha ini dapat kita laksanakan ianya haruslah dapat diterjemahkan dalam bentuk kemenjadian anak-anak murid kita,” jelasnya.

Tambah beliau, kemenjadian murid merujuk kepada sikap dan tingkah laku yang baik kerana amalan sedemikian melahirkan warga Malaysia yang boleh memberikan sumbangan bermakna, bukan saja kepada diri sendiri mahu pun keluarga tetapi juga negara sekaligus mewujudkan masyarakat harmoni.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan, Munah Nasri dan program jelajah berkenaan turut dimeriahkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|