Semangat kekeluargaan lahirkan masyarakat harmoni, sejahtera

Semangat kekeluargaan lahirkan masyarakat harmoni, sejahtera

PUTATAN: Kerajaan berusaha menanam semangat kekeluargaan melalui konsep Kasih MADANI dan perlaksanaan “November Bulan Keluarga Kebangsaan” untuk melahirkan masyarakat yang stabil, harmoni dan sejahtera.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi menyemarakkan sambutan ini, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan pada 3 November 2023 telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memperluaskan sambutan itu diperingkat semua kementerian dan kerajaan negeri, mulai tahun ini.

Justeru katanya, semua kementerian termasuk semua pihak di negeri ini diharapkan untuk turut sama menjayakan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan.

“Perlaksanaan aktiviti hari keluarga di setiap kementerian dan agensi kerjaan juga perlu dijadikan acara tahunan wajib pada setiap bulan November. Bagi sektor swasta, NGO dan komuniti amatlah digalakkan supaya melaksanakan program kesejahteraan keluarga”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2024 dan Program Jerayawara Santuni Komuniti Madani PEKA@LPPKN kawasan Parlimen Putatan di Dewan Sri Putatan pada Sabtu.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk lr. Shahelmey Yahya.

Katanya, perkembangan pesat teknologi, penggunaan gajet dan media sosial menjadi satu cabaran kepada keluarga sehingga kanak-kanak dan remaja kini terdedah kepada pelbagai pengaruh yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.

Beliau berkata, menurut kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) lebih 70% kanak-kanak di Malaysia menggunakan internet sejak usia kecil, yang menuntut ibu bapa untuk lebih bijak dalam mengawal akses anak-anak kepada teknologi itu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|