Sambutan Kaamatan usaha murni satukan semua rakyat Sabah

Sambutan Kaamatan usaha murni satukan semua rakyat Sabah

SANDAKAN: Sambutan Pesta Kaamatan yang diteruskan sehingga kini adalah merupakan platform terbaik sebagai salah satu usaha murni menyatupadukan semua kaum di Sabah.

Ini kerana, sepanjang berlangsungnya perayaan pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya seperti acara sukan rakyat, pameran makanan tradisi, nyanyian dan tarian termasuklah pakaian tradisi serta ratu cantik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lantikan Negeri Sabah, Datuk Jaffari Waliam menyatakan bahawa aktiviti ditonjolkan telah memberi peluang kepada rakyat untuk memahami sekali gus mengenali keunikan budaya yang ada.

“Acara Pesta Kaamatan ni akan diteruskan kita anggarkan lagi ramai apa penyertaan yang akan menyertai pertandingan Pesta Kaamatan pada tahun akan datang .. alhamdulillah pada petang ini kita telah menyaksikan wakil dari Sandakan akan ke KDCA, kita doakan semoga Sandakan akan dapat orang bilang khabar yang begitu gembira untuk kemenangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sandakan 2024 di Dewan Masyarakat Sandakan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Jaffari berkata mengikut sejarah Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Negeri yang pertama telah diadakan pada 30 Jun hingga 1 Julai 1960 di Sekolah St. Michael Lama, Penampang.

Kini, kata beliau Pesta Kaamatan yang diraikan oleh masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) itu turut disertai etnik-etnik lain seperti Sungai, Dumpas, Bajau, Suluk dan sebagainya.

Dia yakin semangat perpaduan dan toleransi semua kaum di negeri ini boleh dicapai bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan’ adalah bersesuian agenda nasional.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Henry Idol berkata sambutan perayaan pada tahun ini lagi unik berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila pihaknya turut menganjurkan karnival sempena Pesta Kaamatan.

“Pada tahun ini kita telah menganjurkan satu Pesta Kaamatan peringkat Daerah Sandakan yang berlainan dengan tahun-tahun sebelum ini, yang mana pada tahun ini kita telah menganjurkan karnival di samping beberapa acara-acara yang biasa kita adakan dan dengan adanya karnival ini kita telah menjemput beberapa etnik di daerah Sandakan dan ini mencerminkan bahawa Pesta Kaamatan ini bukan sahaja kerana pesta menuai padi kerana juga harus menyatupadukan setiap kaum dalam satu perayaan Pesta Kaamatan,” jelasnya.

Sempena perayaan itu, Tati Joanne Elodea Jonis dinobatkan sebagai juara Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Daerah Sandakan 2024 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh Flores Cuthbert serta Brigette Sinundu Sundry.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|