KOTA KINABALU: Sabah hanya mempunyai seramai 28 orang Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) berkhidmat di sebanyak 24 buah hospital seluruh negeri merangkumi hospital negeri, hospital pakar major dan minor, hospital tanpa pakar serta hospital institusi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jumlah itu tidak mencukupi untuk menangani permasalahan pesakit yang memerlukan intervensi lanjut ke arah mencapai kefungsian sosial yang optimum.
Beliau berkata, Sabah merupakan sebuah negeri yang besar dan kebolehcapaian kepada perkhidmatan kesihatan bagi mereka yang tinggal di pedalaman akan menghadapi beberapa halangan disebabkan faktor geografi dan kemudahan pengangkutan serta keadaan sosio ekonomi keluarga.
“Hanya terdapat 28 orang PKSP yang ada bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk untuk bantuan psikososial dan kewangan bagi pembelian peralatan dalam memenuhi keperluan rawatan, sudah tentu jumlah ini tidak mencukupi”, katanya ketika merasmikan Persidangan Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Malaysia ke-27 di Ballroom Hotel 7 Suria pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, kos perubatan semakin meningkat pada masa ini secara langsung memberikan kesan besar kepada kemampuan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.
Menurutnya ekoran terkesan dari segi ekonomi, didapati jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan mengalami peningkatan dan menambah lagi cabaran kepada warga kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkesan dan menyeluruh.
Sehubungan ini katanya, perkhidmatan kerja sosial perubatan menjadi amat signifikan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks dan dinamik, sejajar dengan aspirasi reformasi kesihatan negara iaitu sistem kesihatan yang saksama dan berpaksikan rakyat.
Deasoka