PMX perlu terus tadbir negara, KDM nafi terlibat gerakan guling kerajaan

PMX perlu terus tadbir negara, KDM nafi terlibat gerakan guling kerajaan

KOTA KINABALU: Presiden parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus diberi peluang untuk mentadbir negara.

Katanya, sebarang gerakan atau tindakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal dan harus dielakkan.

Beliau berkata, Anwar setakat ini telah memimpin negara dengan baik dan adalah tidak adil untuk menyingkirkan beliau yang baru setahun lebih mentadbir negara ini.

Menurutnya, begitu banyak sekali usaha dan inisiatif yang telah dilakukan Anwar sejak beliau menjadi Perdana Menteri termasuk dalam mengembalikan hak-hak Sabah.

“PMX (Anwar) adalah satu-satunya Perdana Menteri yang telah melakukan banyak perkara untuk Sabah dan Sarawak, yang mana kita tidak merasainya semasa pentadbiran terdahulu.

“Beliau begitu komited kepada Sabah, termasuk mengembalikan hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai contoh penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan negeri Sabah, sebelum itu juga Kerajaan Persekutuan memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Negeri.

“Usaha-usaha seperti ini memberi kesan dan manfaat besar untuk jangka masa panjang kepada negeri di bawah bayu ini, bagaimana mungkin kita sebagai rakyat Sabah tidak menghargai usaha dan inisiatif Kerajaan Perpaduan pimpinan PMX, beliau telah melakukan banyak perkara untuk kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, sebarang cubaan untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini hanya akan membantutkan usaha untuk membangunkan negara terutama dalam meningkatkan ekonomi.

Katanya, para pelabur kini sudah mula yakin dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar dan sekiranya politik negara kembali bergolak, segala usaha kerajaan untuk menyelamatkan negara menjadi sia-sia.

“Anwar mengambil alih pemerintahan di kala negara menanggung hutang yang begitu besar, ditambahkan lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak begitu baik.

“Sudah pasti PMX dan barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan sedang cuba sedaya upaya mereka untuk menyelamatkan negara dan meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul.

“Beri PMX peluang dan ruang bagi melaksanakan tugasnya untuk negara, sudah-sudahlah berpolitik, kalau pun mahu mengambil alih tampuk pemerintahan, lakukan secara demokrasi selepas habis penggal nanti,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, KDM telah membuat laporan polis terhadap dakwaan dibuat blogger, Raja Petra Kamarudin yang mengaitkan parti itu dengan ‘Langkah Dubai’ untuk menjatuhkan kerajaan.

Katanya, tiga pemimpin KDM iaitu Naib Presiden, Henry Saimpon, Setiausaha Agung, Dr Gaim Lunkapis serta Ketua Penerangan, Dr Oswald Aisat Igau telah membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pagi ini.

“Laporan polis itu dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat Raja Petra atas kesalahan menghasut dan membuat kenyataan palsu.

“Dakwaan dibuat Raja Petra ini satu fitnah, saya ingin menegaskan sekali lagi, KDM tetap teguh dibawa kerajaan Perpaduan pimpinan PMX,” katanya lagi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|