TAWAU: Jentera parti PGRS Bahagian Apas diminta terus merapatkan ukhuwah dan berkerja keras demi memastikan kemenangan wakil rakyat bahagian itu, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada pilihan raya negeri akan datang.
Bendahari PGRS Bahagian Apas, Datuk Najib Tay Abdullah berkata, usaha di peringkat akar umbi dan jentera parti itu amat memainkan peranan penting untuk mendekati rakyat sekaligus memperterjemah bakti serta hala tuju yang sudah diusahakan ADUN Apas berkenaan sebelum ini.
“Saya mintalah, kalau boleh semua jentera, ahli dan pemimpin kita untuk terus bekerja kuat untuk memenangkan YB kita dan seterusnya memperolehi majoriti lebih besar pada PRN akan datang.
“Saya juga yakin dan percaya, menerusi peranan semua jentera parti ini, maka kita akan beroleh kemenangan demi bahagian di Apas ini, “katanya.
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat perwakilan PGRS Bahagian Apas di Tawau, hari ini.
Mesyuarat terbabit dirasmikan oleh Timbalan Presiden PGRS, Datuk Seri Masidi Manjun.Untuk rekod, Nizam merupakan ADUN Apas sejak 2018.
Sementara itu, dalam ucapan majlis yang sama, Najib Tay turut menyentuh para perwakilan supaya tidak terikut-ikut dengan budaya suka ‘bertengkar’ seperti mana diamalkan pihak lain kerana ia dikhuatiri memperlahankan momentum sedia ada.
“Suka saya nasihatkan para perwakilan, janganlah amalkan budaya suka gaduh-gaduh…ia bukan amalan kita di PGRS.
“Tanamkan semangat untuk pertahankan kerajaan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Ketua Menteri yang juga Presiden PGRS kita, dan untuk Apas ini kita terjemahkan untuk menangkan YB kita, Datuk Nizam dengan majoriti lebih besar pada PRN kelak, Insya Allah,” katanya.
Deasoka