Persekutuan setuju penyerahan kuasa kawal selia SESB kepada Sabah

Persekutuan setuju penyerahan kuasa kawal selia SESB kepada Sabah

PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam telah bersetuju dengan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri Sabah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Menurut kenyataan media rasmi Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam hari ini, penyerahan tersebut dilaksanakan secara berfasa.

Jelas kenyataan itu, fasa yang dimaksudkan adalah Fasa 1 – penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah berkuat kuasa pada 3 Januari 2024; dan Fasa 2 – penyerahan SESB dalam tempoh 7 tahun yang dijangka selesai pada tahun 2030.

Keputusan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dengan pelaksanaan pemindahan kuasa kawalselia tersebut, Kerajaan Negeri Sabah boleh melaksanakan perancangan dan pembangunan pembekalan elektrik di negeri Sabah dengan sendiri.

Walaupun demikian, Kerajaan Persekutuan bersedia untuk bekerjasama dan membimbing sekiranya pihak Sabah memerlukan bantuan dan khidmat nasihat daripada Kerajaan Persekutuan.

Selepas penyerahan ini, adalah diharapkan Kerajaan Negeri Sabah akan sentiasa komited dalam menangani masalah gangguan bekalan elektrik di Sabah, sekali gus memenuhi peningkatan permintaan elektrik di negeri berkenaan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|