OPS Bersepadu, 37 individu di Kalabakan

OPS Bersepadu, 37 individu di Kalabakan

KALABAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) berjaya menahan seramai 37 individu atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Bersepadu di Pos Pemeriksaan Darat (RCP) Kalabakan, di sini.

Operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 3 Mei baru-baru ini turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa agensi lain.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, Operasi Bersepadu ini dilaksanakan di sekitar Daerah Kalabakan serta melibatkan seramai 85 orang pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Katanya, ia bertujuan membanteras penyeludupan barang kawalan, bersubsidi, tidak bercukai serta mengekang penyusupan pendatang tanpa izin (PTI).

“Selain itu, menguatkuasakan undang-undang khususnya di pintu keluar masuk utama warga asing serta penduduk setempat yang menetap di kawasan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 400 buah kenderaan dan seramai 832 individu telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau untuk siasatan lanjut.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pula menahan seramai 10 individu atas kesalahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya dan merampas dadah seberat 5.22 gram.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) menahan seorang suspek serta merampas 1,750 liter minyak diesel dan sebuah pacuan empat roda atas kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Manakala, Jabatan Pangangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 17 saman dan lapan notis atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Victor berkata, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai dan anggota yang menjayakan operasi ini serta Jabatan dan agensi terlibat.

“Kejayaan operasi ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan melalui Operasi Sanggah ESSCOM dalam memperkasakan operasi-operasi sedia ada.

“Operasi Bersepadu ini akan terus dipergiat khususnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) bagi mengekang elemen jenayah rentas sempadan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|