MoU DBKK,MCMC pacu KK jadi bandar raya pintar

MoU DBKK,MCMC pacu KK jadi bandar raya pintar

KOTA KINABALU: Kerjasama antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC akan memacu Kota Kinabalu ke arah menjadi sebuah bandar raya pintar, lestari, dan maju sekali gus yang dapat bersaing di peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebagai ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu bukan sekadar pusat pentadbiran tetapi juga pusat ekonomi, pelancongan, dan inovasi teknologi yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah.

Beliau berkata, kerjasama antara DBKK dan MCMC menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini adalah langkah besar ke arah merealisasikan visi Sabah sebagai negeri yang memacu pembangunan mampan melalui digitalisasi.

“Kota Kinabalu akan menjadi model bandar raya pintar yang memperlihatkan bagaimana teknologi dapat memperkasa kehidupan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

“Melalui MoU ini, pelaksanaan beberapa projek berskala besar akan dilakukan antaranya kesalinghubungan digital yang menyeluruh, aspek keselamatan awam dan infrastruktur pintar seperti pemasangan kamera litar tertutup atau CCTV, digitalisasi pentadbiran dan perkhidmatan bagi menjadikan pentadbiran lebih cekap, mengurangkan birokrasi serta budaya digital dan ekonomi tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau percaya MoU ini adalah permulaan kepada era baharu pembangunan Sabah, dengan Kota Kinabalu akan menjadi contoh kepada bandarbandar lain di negeri ini.

“Usaha ini bukan sahaja memberi impak kepada bandar raya, tetapi juga kepada seluruh Sabah. Dengan menjadikan Kota Kinabalu sebagai hab digital dan inovasi, kita membuka peluang untuk kolaborasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan, dan perniagaan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|