Miss World Malaysia, Sabah pada 3 Disember depan

Miss World Malaysia, Sabah pada 3 Disember depan

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi menjadi tuan rumah kepada pertandingan Miss World Malaysia 2024, sekali gus meningkatkan lagi imej negeri ini di persada antarabangsa.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, penganjuran seumpamanya sangat selari dengan hala tuju pentadbiran kerajaan negeri pada hari ini yang mahukan usaha sedemikian diperkasakan.

“Acara ini bukan sahaja boleh membantu menarik pelabur luar, tetapi juga pelancong ke negeri ini.

“Kita mahu pelbagai acara diadakan di negeri ini agar mampu memperkasakan lagi sektor pelancongan,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam bersama semua finalis Miss World Malaysia 2024 yang dihoskan The Crab House Seafood Restaurant, semalam.

Beliau berkata, kepelbagaian program bertaraf antarabangsa yang diadakan di Sabah mampu meningkatkan imej negeri ini di peringkat asia dan seluruh dunia.

“Saya berhasrat melihat Sabah menjadi lebih terkenal dan disanjung tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 11 finalis akan berentap pada pertandingan akhir Miss World Malaysia 2024 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu pada 3 Disember 2024.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew dijangka akan menjadi tetamu kehormat kepada majlis berkenaan.

Seperti tahun lepas, empat finalis pertandingan ini adalah berasal dari Sabah. Mereka ialah Kelly Eleanor Tseu, Fillonie Francis, Lyn Sinsua dan Tiffany Vaishenevi Pillai Ragupathi.

Peserta lain ialah Car Menn Lee dari Selangor, Hantze Liow (Kuala Lumpur), Nandhini Sundaram (Kedah), Nivashini Wadivello (Kuala Lumpur), Plohmeena Sachpreet (Kuala Lumpur), Taanusiya Chetty (Kuala Lumpur), Sheena Devayani (Kuala Lumpur).

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive Entertainment merangkap Pengarah Kebangsaan Miss World Malaysia, Dr Sean Wong dan pemilik The Crab House Seafood Restaurant, Ken Oh serta tetamu kehormat yang lain.

Antara aktiviti yang akan dilakukan oleh para finalis sebelum berentap pada 3 Disember depan adalah membersihkan pantai di Pulau Dinawan, Program SEED HEART, di Dewan Seri Sulaman Tuaran, Food Aid Charity di Kampung Kironggu, Inanam dan banyak lagi..

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|