Maritim tahan dua bot pelancong bawa penumpang lebih had

Maritim tahan dua bot pelancong bawa penumpang lebih had

KOTA KINABALU: Gara-gara membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan dan mengabaikan aspek keselamatan, dua buah bot pelancong telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada jam lebih kurang 4.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda maritim dalam siri Operasi Preventive Search and Rescue (SAR) telah menahan kedua-dua bot berkenaan di kedudukan 0.18 batu nautika Barat Jeti Jesselton, Kota Kinabalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama, mendapati bot yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan telah membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Manakala pemeriksaan ke atas bot kedua mendapati bot terbabit tidak membawa peralatan keselamatan seperti mana yang telah dinyatakan dalam butiran keperluan keselamatan oleh pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga selain beroperasi tanpa kru, “katanya.

Kedua-dua bot dan juragan telah diiringi masuk ke jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua pengusaha bot penumpang agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan semasa membawa penumpang ke pulau-pulau sekitar perairan Sabah bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|