KOTA KINABALU: Ketua PGRS Bahagian Lamag, Abu Bakar Gapar menafikan dakwaan pihaknya membolot kesemua jawatan peringkat kampung dan mengetepikan hak parti komponen lain dalam GRS.
Jelas beliau, pihaknya pada masa menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada PGRS Lamag susulan sebuah video yang ditularkan pihak tertentu dalam sebuah majlis pembahagian jawatan peringkat kampung di sebuah lokasi di Pantai Timur, baru-baru ini.
“Sebenarnya tidak berbangkit soal berlaku kekecohan dan ketidakadilan dalam isu pelantikan pemimpin akar umbi seperti yang digambarkan di media sosial, termasuk video yang disebarkan oleh pihak tertentu.
“Apa yang berlaku adalah salah faham oleh seorang Ketua Bahagian sebuah parti komponen GRS semasa menyampaikan ucapan ringkas sebelum Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua-Ketua Adat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada 4 Julai lalu.
“Kemungkinan beliau kurang informasi berkaitan dengan pelantikan itu sehingga beranggapan bahawa wakil parti itu telah dibelakangkan, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Abu Bakar lagi, berdasarkan senarai ketua-ketua adat yang dilantikan, yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri bahawa tiga orang daripada parti itu telah dilantik, berserta dengan beberapa orang lagi daripada parti-parti komponen yang lain.
“Kementerian Kerajaan Tempatan membuat pelantikan itu adalah berdasarkan merit setelah menerima syor-syor nama daripada parti-parti komponen GRS, serta mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan pada Oktober 2022.
“Pemimpin parti-parti komponen GRS bahagian Lamag yang dilantik mengisi kekosongan jawatan Ketua Adat mencapai 56 peratus berbanding parti dominan dari segi ahli dan senioriti…justeru, tidak wujud isu soal ketidakadilan, “katanya.
Dalam hal berlainan, Abu Bakar pada masa sama turut menjawab mengenai tuduhan bahawa pemimpin parti PKR tidak dijemput juga tidak benar kerana Ketua Wanita Cabang PKR Kinabatangan, Siti Jahara
menghadiri majlis itu mewakili parti tersebut setelah Ketua Cabang dan Setiausaha Bahagian PKR Kinabatangan tidak dapat hadir atas sebab tertentu.
“Justeru itu, jangan kaitkan isu tersebut dengan soal ketidakadilan dan ketidakbersatu parti-parti komponen GRS kawasan Lamag.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Gagasan Rakyat di Kinabatangan tetap kukuh bersatu.
“Saya berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menimbulkan provokasi bahawa akar umbi GRS bercakaran merebut jawatan. Isu ini hanya disebabkan salah faham yang telah diberikan penjelasan sebaiknya,” katanya.
Deasoka