Kerap tuding jari, pembangkang tidak ikhlas majukan Sabah: Nizam

Kerap tuding jari, pembangkang tidak ikhlas majukan Sabah: Nizam

KOTA KINABALU: Sikap pembangkang yang kerap menuding jari terhadap permasalahan infra di negeri ini diibaratkan mainan politik semata-mata.


Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tohmahan demi tohmahan berkenaan seolah mengesahkan andaian bahawa pemimpin pembangkang ini tidak ikhlas untuk memajukan Sabah.

Dalam kata lain katanya, istilah terlalu kuat bermain politik dengan berusaha mensabotaj segala langkah penyelesaian oleh kerajaan ke atas masalah legasi yang berdekad ini amat mendukacitakan kerana kegagalan mereka bertindak sebagai pihak semak dan imbang.

“Kerajaan GRS-PH Plus tidak menuding jari pada mana-mana pihak berkaitan masalah kemudahan asas negeri yang masih daif, akan tetapi hanya memulangkan paku buah keras kepada sikap pemimpin parti pembangkang di Sabah seperti Ketua Umno Bahagian Putatan Jeffrey Nor Mohammed yang kerap menuding jari pada masalah kemudahan asas yang sedang dihadapi rakyat sebagai kegagalan kerajaan Sabah hari ini.

“Walaupun kerajaan hari ini hanya berumur 3 tahun dan menghadapi pelbagai rintangan termasuklah serangan pandemik Covid-19 dan peristiwa Kudeta pihak yang ingin menjadi kerajaan pintu belakang.

“Kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa fokus dan sedaya upaya menyelesaikan masalah yang diwarisi selama berdekad-dekad,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, tindakan menuding jari kepada kerajaan hari ini sebagai kerajaan gagal, membawa erti, bahawa kerajaan tidak berbuat apa-apa, sedangkan berbagai tindakan dan pendekatan telah diambil malah ada yang telah dirasai sementara yang lain sedang menyusul untuk disiapkan.

“Memang tidak dinafikan bahawa sebahagian pemimpin kerajaan hari ini adalah dari kerajaan lalu.

“Namun, walaupun parti yang memimpin kerajaan Sabah di waktu itu adalah parti tunjang dari semenanjung yang sangat dominan namun Sabah selalu berasa dipinggirkan kerana agihan dana pembangunan yang diterima dari kerajaan persekutuan tidak memenuhi keperluan sebenar pembangunan di negeri Sabah yang besar.

“Masih banyak isu kemudahan asas di Sabah tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Jelas beliau lagi, atas kesedaran kepada kelemahan itulah maka sudah sampai masa untuk pemimpin dan rakyat Sabah bersatu-padu untuk meneruskan perjuangan membela nasib dan hak rakyat Sabah dalam wadah parti tempatan kerana negeri ini adalah rumah kita maka rumah kita , kitalah yang menjaganya.

“Rakyat Sabah mesti bersatu dalam satu wadah tempatan dan mengelakkan perpecahan bagi menjaga kepentingan negeri serta rakyat Sabah, selain kepentingan nasional. Kita perlukan politik yang stabil untuk kerajaan fokus melaksanakan agenda pembangunan negeri sesuai dengan halatuju Sabah Maju Jaya.

“Alhamdulillah, setakat ini kerajaan GRS-PH Plus pimpinan Datuk Seri Hajiji telah menunjukkan petanda yang positif dari semua aspek perjuangan sama ada dari segi peningkatan ekonomi negeri, perjuangan Perjanjian Malaysia 63 dan langkah-langkah penyelesaian isu legasi kemudahan asas yang berdekad. Kita juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sentiasa memahami keperluan Sabah dan bersama dengan perjuangan kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji,” katanya.

Tambah beliau, bagi menoktahkan punca kegagalan menaiktaraf atau menyelesaikan kemudahan asas negeri, maka kerajaan Sabah hari ini menuntut untuk mengambil alih kawal selia tenaga, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya sebagai Jabatan Teknikal, pelaksanaan projek-projek persekutuan di bawah RM50juta selain menubuhkan tabung amanah bagi peruntukan pembangunan daripada kerajaan persekutuan agar keadaan lalu tidak berulang.

“Kerajaan GRS-PH Plus bekerja keras untuk mengukuhkan kestabilan politik dan perpaduan di Sabah. Perjuangan untuk memajukan rakyat dan membangunkan negeri Sabah menjadi keutamaan dan wajib dilaksanakan.

“Kerajaan Sabah hari ini berada di landasan yang tepat untuk terus membawa pembangunan demi kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|