Kerajaan luluskan RM1.5 juta kepada persatuan wanita di Sabah: Hajiji

Kerajaan luluskan RM1.5 juta kepada persatuan wanita di Sabah: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan wanita dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita bagi melaksanakan lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan wanita di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, peruntukan itu juga sebagai tanda sokongan daripada kerajaan yang amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Justeru, melihat kepada kepentingan peranan persatuan wanita, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

“Saya berharap peruntukan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh negeri ini. Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Hari Wanita peringkat negeri Sabah di sini pada Jumaat malam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Katanya, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.

“Justeru, saya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea baharu, ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|