Kerajaan beri perhatian terhadap bahasa dan sastera

Kerajaan beri perhatian terhadap bahasa dan sastera

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sentiasa memberikan perhatian terhadap bahasa dan sastera di negeri ini kerana ia elemen yang mampu membentuk peribadi, dan ketamadunan bangsa bagi melahirkan bangsa yang bercitra dan beracuan sendiri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, dalam usaha menguasai seberapa banyak bahasa, namun pemartabatan bahasa kebangsaan tidak harus diketepikan atau diperlekeh.

“Saya berharap rakyat akan terus mengutamakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk paparan di tempat awam, komunikasi dan dokumentasi di institusi kewangan, perbankan, iklan, pasar raya, projek-projek pembangunan, projek komersial, taman perumahan, institusi pendidikan dan sektor kerajaan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd.Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, DBP Cawangan Sabah melalui projek kosa kata bahasa sukuan telah berjaya mengetengahkan beberapa kosa kata sukuan negeri ini dan dirakamkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Menurutnya, antaranya kata “kerop” daripada bahasa Kadazan yang membawa maksud bulu mata palsu dan “meridap” daripada bahasa Bajau untuk maksud tidur atau lelap sekejap.

“Kita berasa bangga kerana turut sama menyumbang ke arah memperkasa kosa kata bahasa kebangsaan. “Masih banyak kosa kata etnik yang boleh diketengahkan lagi memandangkan Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik yang berkomunikasi dalam lebih daripada 50 bahasa”, katanya.

Beliau berharap lebih banyak usaha dilakukan untuk mengetengahkan kosa kata sukuan daripada etnik lain di negeri ini untuk dimasukkan sebagai salah satu entri di dalam Kamus Dewan.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|