Kepelbagaian budaya harus diraikan bersama: Hajiji

Kepelbagaian budaya harus diraikan bersama: Hajiji

TUARAN: Kepelbagaian budaya yang ada di Sabah perlu terus diraikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Ini kerana katanya, kepelbagaian dalam aspek budaya seperti sambutan Pesta Tanglung antara yang telah menjadikan rakyat di negeri ini hidup bersatu padu dan aman.

“Inilah keunikan dan kehebatan Sabah yang menjadi contoh kepada negeri lain. Kita mempunyai pelbagai perayaan yang kita raikan bersama-sama tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya berasa bangga kerana Lions Club Tuaran telah menganjurkan pesta yang cukup hebat dan berharap perayaan yang diwarisi sejak nenek moyang ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan sambutan Pesta Tanglung Tuaran di Padang Astaka Tuaran, di sini pada Sabtu malam.

Dalam pada itu, beliau turut berharap rakyat akan terus menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus untuk terus membangunkan negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri hari ini akan terus membawa pembangunan kerana ini adalah tanggungjawab untuk melakukan yang terbaik kepada rakyat.

“Justeru, saya berharap rakyat negeri ini tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan fitnah yang dibawa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebenarnya, banyak yang telah kita lakukan selepas pandemik COVID-19.

“Kita telah merancang dan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri ini. Bukan itu saja, malah dalam aspek lain termasuk pendidikan dan modal insan yang menjadi antara fokus utama kerajaan negeri.

“Kita tahu memang ada masalah yang dihadapi termasuk yang diwarisi daripada penerintahan terdahulu seperti air. Tetapi kerajaan hari ini akan terus melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah-masalah berkenaan. Apa yang penting sokongan daripada rakyat agar Sabah terus maju jaya dalam Malaysia,” katanya

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|