KOTA KINABALU: Kerajaan berhasrat untuk mengadakan satu kempen keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan keluarga secara besar-besaran pada tempoh terdekat ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini susulan kebimbangan pihaknya terhadap gejala judi, penipuan (scam) dan lain-lain yang menggunakan platform atas talian.
Jelas beliau, ini ditambah dengan trend had umur 13 tahun yang ditetapkan di platform media-media sosial yang mampu memberikan impak sekiranya tidak terkawal.
“Kita usahakan satu program kempen besar-besaran di peringkat Kebangsaan sampailah negeri dan daerah iaitu kempen keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak dan keluarga, kerana kita lihat had umur 13 tahun, walaupun ditetapkan di platform media sosial namun tidak ada tindakan yang kukuh untuk menghalang kanak-kanak terutamanya daripada register account di media sosial.
“Kita juga lihat masalah scam, masalah judi dalam talian berleluasa maka kita perlukan satu kempen besar-besaran dan insyallah kita akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk syarikat telco, pdrm dan Kerajaan-Kerajaan negeri untuk kita laksanakan satu kempen di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2024 yang dilancarkan oleh di Pusat Beli-belah IMAGO, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Terdahulu, Fahmi yang dalam lawatan kerjanya di Sabah bermula hari ini pada masa sama mendedahkan, pihak Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan menerusi program Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang berusaha meningkatkan saling hubungan rakyat di negeri ini.
Jelas beliau, antara perkara-perkara yang kita telah beri penekanan adalah untuk mempercepatkan proses menyiapkan menara-menara yang mungkin mengambil masa akibat daripada beberapa isu.
“Tadi saya juga telah bertemu dengan semua pihak terlibat, dan mereka telah memaklumkan menjelang hujung tahun ini keseluruhan hampir 400 menara akan disiapkan,” katanya.
Deasoka