KINABATANGAN :Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diberikan kepada Datuk Seri Fadillah Yusof bukan saja mewakili Sarawak tetapi portfolio itu adalah untuk mengkordinasikan semua program di Sabah.
Hal berkenaan ditegaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai menjawab isu keperluan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dari Sabah yang ditimbulkan pihak tertentu.
Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun mempertimbangkan perkara itu sedalam-dalamnya sebelum keputusan dibuat bagi melantik Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili Sabah dan Sarawak.
Katanya, apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, seorang Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Sabah dan Sarawak dan pelantikan Datuk Seri Fadillah bukan saja untuk mewakili Sarawak tetapi sebenarnya portfolio yang diberikan kepada beliau adalah untuk mengkordinasikan semua program untuk Sabah dan juga Sarawak.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sentuhan Kasih Desa Sukau, Kinabatangan dan Keusahawanan Luar Bandar 2024 di Dataran Tamu di Sukau Kinabatangan, pada Khamis.
Ditanya lanjut adakah jawatan itu perlu diwujudkan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meminta tunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan terlebih dahulu.
Dalam sidang media sama beliau menegaskan perjumpaan pada malam Jumaat ini bersama pemimpin-pemimpin Umno Sabah sememangnya akan membahaskan isu pilihan raya negeri.
Deasoka