Isu penubuhan semula LPS, Warisan bersikap serkap jarang: Iskandar

Isu penubuhan semula LPS, Warisan bersikap serkap jarang: Iskandar

KOTA KINABALU: Kenyataan Terrence Siambun, Naib Presiden Warisan yang mengkritik Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah dalam isu meluluskan pengaktifan semula Lembaga Padi Sabah (LPS) dianggap sebagai satu lagi optik politik yang tidak bertempat serta sengaja mencipta provokasi siasah yang tidak wajar.  

Naib Presiden USNO III, Iskandar Zulkarnain Haji Ramli berkata, kenyataan Terrence itu bukan sahaja untuk memberikan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan negeri mengatasi keperluan semasa rakyat khususnya tahap sara diri (SSL) beras tetapi turut menunjukkan kegagalan parti mereka semasa mentadbir negeri dahulu.  

“Setidaknya dalam masa setahun, idea penubuhan semula LPS berjaya diluluskan dan peruntukan sebanyak RM1.82 Juta itu telah diumumkan lebih awal, mereka  (Warisan) menjadi kerajaan selama lebih 22 bulan, tetapi tiada tindakan sedangkan mereka SSL beras negeri perlu ditingkatkan.”  

“Betul Shafie Apdal ada menimbulkan idea tersebut, itupun selepas dua tahun memerintah dan diakhir-akhir kejatuhan mereka.”tegas Iskandar yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda GRS.  

Mengulas tentang isu monopoli beras import oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Iskandar menyatakan perkara itu sudahpun dijawab oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Mohamad Sabu di Parlimen.  

“Mekanisme itu berfungsi dengan baik sebagai benteng melindungi industri padi dan beras tempatan daripada terdedah kepada ketidaktentuan kedudukan pasaran antarabangsa, dalam situasi terkini, mekanisme ini boleh mengimbangi bekalan dan harga beras”.  

“Bahkan dengan sinergi positif antara kerajaan negeri dan persekutuan, Sabah termasuk Labuan dan Sarawak telah menerima subsidi sebanyak RM950 per tan metrik beras putih import sejak tahun lepas. Melalui kaedah itu, harga runcit Beras Putih Import (BPI) di kedua-dua negeri boleh dihadkan pada harga maksimum RM31 bagi sekampit 10kg”, katanya lagi.

Tambahan lagi, sejak 15 Februari 2024, untuk memperkasa industri padi tempatan di Sabah, harga lantai belian padi beras putih di Sabah telah dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,300 per tan metrik berkuat kuasa ini, menjadikannya selaras dengan paras harga di Semenanjung dan pastinya akan membantu pendapatan kepada  petani dan pengusaha Beras Putih Tempatan (BPT).

Sebagai bukti keseriusan kerajaan negeri terkait itu beras di Sabah, selain mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah dengan peruntukan RM1.82 juta  tahap sara diri (SSL) beras kepada 31 peratus pada 2025.

Iskandar memberitahu, “Kerajaan Negeri Sabah juga turut menyediakan insentif penanaman padi dengan peruntukan RM18 juta dan memulihkan kawasan sawah terbiar, membangunkan padi tanah kering, menambah jentera membajak dan menuai, membekalkan baja, di samping memberi subsidi beras kepada semua pengusaha dengan peruntukan RM5.16 juta pada tahun ini.”

Menjawab saranan Terrence untuk Hajiji berhenti bercakap tentang usaha yang telah dilaksanakan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya tentang pembinaan sebanyak 1500 unit Rumah Mesra SMJ kepada rakyat miskin di Sabah setiap tahun disifatkan sebagai prejudis dan tidak mampu menerima hakikat bahawa GRS telah berjaya membela keperluan rakyat.

“Terrence dan pihak Warisanlah yang harus berhenti memprovokasi usaha kerajaan menangani isu keperluan rakyat hari ini, jika bukan disebabkan kecuaian mereka semasa mentadbir dahulu, kita tidak akan sampai pada tahap infrastruktur Air dan Elektrik yang kritikal sekarang”.

“Mereka lupa atau memang sengaja menafikan, kabinet mereka dahululah yang membuat keputusan-keputusan kurang bijak sehingga banyak Loji Rawatan Air (LRA) dan Stesyen Janakuasa Elektrik tidak dinaiktaraf, bahkan pelaksanaan projek jalan raya seperti Pan Borneo menjadi lewat disebabkan tindakan mereka membatalkan PDP”.

Iskandar turut menasihatkan agar menghentikan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi negatif, kerajaan negeri hari ini telah sedaya upaya untuk mengatasi semua masalah yang timbul agar memberikan kemudahan yang baik kepada rakyat.  

Bagi penubuhan semula LPS, Kabinet Negeri Sabah akan mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk kelulusan bagi mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah seperti termaktub dalam Seksyen 3, Enakmen Lembaga Hasil Pertanian 1981.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|