Isu biasiswa anak, Azis diminta muhasabah diri: PERSANTUN

Isu biasiswa anak, Azis diminta muhasabah diri: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Sikap Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Azis Jamman yang terus membuat tohmahan terhadap Ketua Menteri, meskipun telah diberi ‘muka’ oleh kerajaan dalam isu kelulusan biasiswa anaknya telah memperlihatkan sifat sebenar pemimpin pembangkang itu.


Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, sikapnya yang terus menyerang kepimpinan kerajaan GRS-PH Plus turut mengundang tanda tanya sedangkan pada masa sama beliau ada masa pula untuk bertemu dengan Ketua Menteri atas tujuan permohonan berkenaan.


Jelasnya, ia secara tidak langsung juga memperlihatkan betapa hipokritnya pemimpin WARISAN tersebut.


“Perkara ini telah didedahkan oleh Datuk Seri Hajiji Noor dalam satu majlis di Tuaran di mana jelas kelihatan beliau agak kecewa dengan sikap pembangkang yang tidak henti-henti menabur dakyah songsang demi menghasut rakyat membenci kerajaan.


“Ia termasuklah Azis Jamman di mana beliau yang tanpa berselindung hampir setiap masa menghentam kerajaan tapi rupa-rupanya dalam senyap-senyap ada bertemu dengan Hajiji mengenai urusan kelulusan permohonan biasiswa anaknya melanjutkan pelajaran.


“Kalaulah diibaratkan Hajiji itu kejam, atau apa sajalah dakwaan yang dilemparkan oleh WARISAN sebelum ini, tidak akanlah Ketua Menteri sanggup ketepikan kepentingan politiknya demi membantu anak Azis, inilah orang kata kufur nikmat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Terdahulu, kontroversi tersebut timbul susulan pendedahan oleh Hajiji di Tuaran baru-baru ini berhubung sikap pemimpin pembangkang yang membutakan mata terhadap kepimpinan sedia ada menguruskan pentadbiran kerajaan.


Jelas Ketua Menteri, Azis turut diselar kerana sikapnya yang agak keterlaluan namun oleh kerana memikirkan kebajikan anak-anak Sabah, beliau terbuka untuk membantu memberi kelulusan biasiswa tanpa mengira bendera politik.


Sementara itu, Najib Tay pada masa yang sama meminta kerajaan terutamanya pihak bertanggungjawab supaya mengambil langkah bersesuaian agar isu seperti ini tidak berulang di masa hadapan.


“Janganlah permainkan kebaikan sesetengah pemimpin dan cuba bermain politik.


“Dalam isu ini, saya beranggapan Azis seorang yang mempunyai kemampuan atas kapasitinya bekas Timbalan Menteri Persekutuan dan mantan Ahli Parlimen, tapi iyalah, kita pun tidak tahu apa masalah beliau.


“Bukan kenyataan saya bermaksud untuk menafikan hak anak beliau atau mana-mana anak atau keluarga ahli-ahli politik lain namun, biarlah berpada-pada…janganlah diibaratkan bahawa sudah ditolong tapi ucap terima kasih pun tidak, malah galak menghentam kerajaan lagi,” katanya.


Tambah Najib Tay lagi, sebagai pembangkang, WARISAN turut diminta menjadi medium check and balance yang adil bukannya bersifat ‘hit and run’ dengan meninggalkan sikap enggan bertanggungjawab terhadap sesuatu isu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|