Industri halal Sabah terus diperkasa

Industri halal Sabah terus diperkasa

KOTA KINABALU: Industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hub, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, usaha ini juga seiring dengan komitmen kerajaan yang terus komited untukterus memperkasakan dan merancakkan industri halal yang lebih menyeluruh di negeri ini.

Beliau berkata, dengan adanya pensijilan halal dapat membantu usahawan IKS mengetengahkan produk mereka bukan sahaja setakat di dalam negeri tetapi juga di luar negara.

Menurutnya, pensijilan halal merupakan elemen penting dalam menyakinkan masyarakat pengguna bahawa produk tersebut benar-benar halal dan selamat dimakan dan digunakan.

Konsep halal berkait rapat dengan produk yang berkualiti tinggi dari segi aspek kebersihan dan pematuhan terhadap syariah agama.

“Saya berharap usaha MUIS yang telah memperkenal dan membuat pendekatan drastik bagi membantu IKS dalam memperolehi pensijilan Halal Malaysia melalui Sijil Halal Industri Kotej (SHIK) bagi pengusaha yang belum memiliki tempat khusus bagi memproses produk atau kilang tetap, akan diperluaskan ke seluruh negeri”,

“Cara ini sudah tentu akan membantu IKS mempromosikan produk mereka dengan lebih meluas. Saya mengharapkan agar pengusaha-pengusaha IKS mengambil peluang ini bagi memperolehi sijil Halal Malaysia melalui SHIK yang sekali gus boleh mengembangkan perniagaan mereka”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Sabah International Halal Expo (SAHEX) 2024 di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.

Katanya, SAHEX 2024 merupakan program yang sangat baik dalam memperkenalkan produk-produk tempatan yang telah dipersijilkan halal oleh MUIS melalui MUIS Halal Hub di negeri ini.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|