Hajiji: Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

Hajiji: Umat Islam diingatkan tidak terperangkap dalam zon selesa

KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini diingatkan agar tidak terus terperangkap dalam zon selesa dan beranggapan nasib serta masa depan kaum bumiputera tetap terjamin dan terbela.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, umat Islam wajar keluar dari kepompong zon selesa dengan menerapkan budaya berfikir berasaskan fakta dan ilmu, berfikir di luar kotak untuk memajukan diri, bangsa dan negara.

Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul yang diadakan bukan sekadar untuk memperingati dan meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW semata-mata, sebaliknya salah satu wadah untuk mengikis mentaliti cepat puas hati dan membebaskan diri daripada perangkap zon selesa (complacency) terutama sekali di kalangan anak-anak muda dan belia muslim dewasa ini.

Katanya, selaras dengan sifat serta sikap Nabi Muhammad SAW yang meskipun maksum, dikasihi Allah dan dijamin masuk syurga, namun tetap tekun dan istiqamah melaksanakan amal ibadat dengan sempurna.

“Budi pekerti Rasulullah ini memberi pengajaran bahawa umat Islam mestilah mengikis sikap mudah selesa, mudah berpuas hati dengan pencapaian yang ada,sebaliknya perlu sentiasa bekerja dan berusaha ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Pengajaran ini seharusnya digarap secara positif oleh generasi muda Islam hari ini jika tidak ingin ketinggalan dalam mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam kehidupan”,katanya pada Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1446H/2024H di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Hajiji berkata, penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti industri digital, Internet of Things, kecerdasan buatan (AI), penggunaan robotik dan sebagainya akan meletakkan masyarakat ummah setaraf dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia.

Menurutnya, pendekatan kerajaan mengajak rakyat mengenang kejayaan Rasulullah SAW membina ummah yang berjaya adalah selaras dengan hasrat murni untuk membangunkan sektor sumber manusia dan modal insan.

Katanya, kerajaan juga memperkenalkan beberapa anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul SAW sebagai imbuhan dan pengiktirafan sumbangan dan peranan mereka yang melaksanakan tugas serta perkhidmatan fardu kifayah, membantu mempermudah urusan maslahah rakyat dan sebagainya.

“Insentif ini sebagai motivasi kepada masyarakat Islam untuk terus mencontohi dan meneladani Rasululllah SAW dalam urusan beramal kebajikan yang secara tidak langsung mengagungkan kerasulan baginda serta membela agama Allah SWT dengan penuh istiqamah dan keikhlasan”, tambahnya.

Terdahulu, Hajiji dan isteri, Datin Seri Juliah Salag bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah R.M. Jasni diiringi difdif kenamaan bersama lebih 7000 umat Islam berarak ke SIC.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|