Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri: Hajiji

Badan Berkanun, GLC Negeri perlu sokong aspirasi kerajaan negeri: Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu Badan-badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) menyokong aspirasi kerajaan untuk pembangunan ekonomi negeri secara holistik dan memastikan dapat menyumbang kepada hasil kerajaan negeri.

Sesuai dengan objektif mewujudkan Badan Berkanun dan GLC negeri, beliau mahu mereka memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi bagi membantu mencapai objektif untuk mensejahterakan rakyat negeri ini.

“Seiring dengan usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri ini, saya mahu Badan Berkanun dan GLC Negeri mencetus kreativiti dan daya cipta dalam meneroka peluang-peluang perniagaan, sama ada menceburi perniagaan baharu atau mewujudkan jalinan kerjasama sesama agensi kerajaan negeri lain yang berkaitan, selagi ia tidak bercanggah dengan objektif penubuhan.

“Oleh itu, setiap agensi perlu bijak dan berhemah dalam perbelanjaan dan mengutamakan pulangan yang perlu dicapai agar dapat memelihara kebajikan syarikat, mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada sosioekonomi negeri”, katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Kursus Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Sesi 2, Tahun 2024 serta Penyampaian Dividen dan Sumbangan Agensi Awam Kepada Kerajaan Negeri di Grand Ballroom, Magellan Sutera, Sutera Harbour Resort pada Selasa.

Beliau mengingatkan semua Badan Berkanun dan GLC Negeri bahawa pelantikan ALP, kenaikan elaun, kemudahan-kemudahan, dan permohonan pemberian (grant) perlu mematuhi peraturan yang berkuatkuasa dan tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada peraturan yang ditetapkan sama ada melalui Akta Syarikat, enakmen atau pekeliling kewangan semasa.

Menurutnya, aspek penting yang perlu sentiasa diamalkan adalah pematuhan kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa.

“Saya yakin dan percaya melalui penerapan prinsip tadbir urus baik, akan membantu ALP menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan lebih berkesan ke arah memandu organisasi melaksanakan mandatnya dan mencapai sasaran ditetapkan, supaya pelaburan kerajaan mendapat pulangan sewajarnya”, tegasnya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|