UMNO dan rakyat berpisah tiada – Mohd Rafi

UMNO dan rakyat berpisah tiada – Mohd Rafi

Labuan: UMNO dan rakyat berpisah tiada, ia bergerak seiring dalam mengembalikan kestabilan politik kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Demikian kata Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Datuk Mohd Ali Hassan yang mengakui UMNO sejak dari dahulu lagi meletakkan soal kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Pemimpin-pemimpin cawangan UMNO Sungai Bedaun bersama sebahagian kepimpinan UMNO bahagian yang mewakili Mohd Rafi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang ahli cawangan semasa program tersebut.

“Ini bukan sekadar ketika musim-musim perayaan tertentu barulah kita menyantuni mereka yang memerlukan perhatian.

“Malah, dalam musibah alam seperti banjir, kebakaran, kematian serta misi-misi kemanusia telah kita laksanakan sebelum ini,” katanya.

Datuk Mohd Rafi Datuk Mohd Ali Hassan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ziarah Kasih Ramadahan yang diadakan di cawangan UMNO Sungai Bedaun, kelmarin.

Ziarah yang digerakkan oleh kepimpinan cawangan UMNO Sungai Bedaun itu turut disertai oleh ahli jawatankuasa UMNO bahagian serta pemimpin-pemimpin veteran UMNO cawangan.

Mohd Rafi berkata, kesediaan pemimpin parti untuk sering bersama rakyat dalam keadaan susah dan senang membuktikan parti UMNO bukan sebuah parti bermusim yang hanya timbul ketika ingin meraih sokongan daripada rakyat

“Kita tidak membudayakan politik seperti ini, malah seharusnya kita meletakkan UMNO itu sentiasa ada di hati masyarakat lebih-lebih ketika mereka benar-benar mengharapkan perhatian kita sebagai pemimpin,” katanya.

Mengulas lanjut program tersebut, katanya, selaras dengan konsep kerajaan perpaduan yang yang bercirikan kerajaan Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah diharapkan ia akan menjadi pengukuh semangat perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli, pemimpin dan parti.

Beliau berkata, usaha ini sudah tentu mampu menyemai nilai murni semangat kekeluargaan pengajaran terarah kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan harmoni yang penting bagi mempertahankan kerajaan perpaduan hari ini.

“Dalam keadaan rakyat, khususnya mereka yang sakit berpendapatan rendah ekoran ekonomi negara yang merundum selepas beberapa tahun dilanda wabak COVID-19, program ini bukan sahaja sekadar ziarah tapi turut menghulurkan bantuan kewangan dan keperluan makanan.

“Ia diharap mampu meringankan beban mereka yang terkesan dan susana Aidilfitri tahun ini dapat disambut dengan keceriaan,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|