Tuntutan royalti minyak masih di peringkat rundingan: Nizam

Tuntutan royalti minyak masih di peringkat rundingan: Nizam

KOTA KINABALU: Terdapat beberapa tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuklah royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum yang masih berada di peringkat rundingan.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyenaraikan sekurang-kurangnya 15 tuntutan lagi yang masih dalam peringkat rundingan dan tindakan setakat ini.

Selain royalti minyak, antara tuntutan berkenaan adalah berkaitan Kuasa Tenaga Buruh, Kuasa Baki Perundangan Alam Sekitar, Penurunan Kuasa Mahkamah di Sabah dan Sarawak, Pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman di Sabah dan Sarawak, Pentadbiran Kehakiman di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, tuntutan yang lain merangkumi Mineral Minyak & Medan Minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], Hak Negeri ke Atas Pelantar Benua, Obligasi Kewangan Persekutuan di bawah Senarai Bersama, Duti Setem yang Dikenakan ke atas Instrumen Pemindahan, Caj, Menyewakan Tanah di bawah Ordinan Tanah (Cap. 68), Pertambahan Perjawatan Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Sabah Di Bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Borneonisasi Perkhidmatan Awam Di Negeri Sabah, Pindaan Item 25A (Pelancongan) dari Senarai I(Persekutuan) kepada Senarai III (Bersama) dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, dan terakhir Pembangunan Kawasan Sempadan Malaysia & Indonesia (Sabah-Sarawak-Kalimantan).

“Nombor enam iaitu tuntutan royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum yang selalu menjadi isu seolah-olah kita (kerajaan) tidak berbuat sesuatu.

“Tetapi sebenarnya dalam perkara ini, dalam perundingan dan perbincangan untuk ditunaikan,” kata Nizam ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Tungku, Assaffal P Alian dalam sesi Sidang DUN Sabah, hari ini.

Assafal terdahulu di dalam dewan bertanya kepada Nizam status terkini tuntutan berkaitan royalti minyak dan perkara melibatkan hak ke atas pelantar benua yang termaktub dalam MA63.

Nizam dalam sesi yang sama turut memaklumkan kerajaan telah memperolehi tujuh tuntutan Sabah daripada Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hasil daripada rundingan berterusan Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan.

Ini termasuklah Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) pada tahun 2021, Pindaan terhadap definisi Persekutuan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan, Penyerahan Kuasa Ke Atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan Kepada Kerajaan Negeri Sabah, Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas dengan kelulusan rang undang-undang Bekalan Gas 2023, Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dan Jabatan Pengairan & Saliran Sabah sebagai Jabatan Teknikal dengan pindaan terhadap Arahan Perbendaharaan 182 (AP182) dan Perlantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli LHDN.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|