Tindakan Kerajaan tarik balik arahan LPPB kosongkan rumah bagi penyewa melebihi 10 tahun tepat, berperikemanusiaan – Bung

Tindakan Kerajaan tarik balik arahan LPPB kosongkan rumah bagi penyewa melebihi 10 tahun tepat, berperikemanusiaan – Bung

Kota Kinabalu: Langkah kerajaan menarik balik arahan dari Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) agar mengosongkan rumah bagi penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) melebihi 10 tahun tepat dan berperikemanusian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam sidang medianya kelmarin, sudah tentu melegakan para penyewa yang majoritinya adalah golongan B40.

“Walaupun ada kenyataan mereka (penyewa) telah tinggal lebih 10 tahun di PPR dan sudah mampu berdikari, namun hakikatnya tidak kerana taraf pendapatan mereka masih ditahap rendah.

“Sudah tentu tidak mampu menyewa rumah yang lebih besar yang kadar sewanya lebih tinggi, apalagi untuk membeli sebuah rumah di kawasan bandar.

“Justeru, menyewa di PPR dengan kadar sewa yang termampu sudah tentu meringankan beban mereka tinggal di bandar sama ada bekerja di sektor kerajaan, swasta atau berkerja sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Menteri menarik balik arahan dari LPPB bagi penyewa PPR yang melebih 10 tahun di PPR Taman Puri Warisan Inanam, Bukit Setia dan Taman Jaya Diri untuk mengosongkan kediaman yang mereka sewa dengan LPPB.

Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, bagi penyewa PPR sudah tentu keputusan kerajaan ini dapat meringankan beban penyewa yang kebanyakannya golongan B40 yang kadar pendapatan mereka sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Hajiji dalam kenyataannya berkata, beliau tidak membenarkan sama sekali bagi penyewa yang melebihi 10 tahun dikeluarkan dari rumah PPR.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri agar LPPB membentangkan kepada kabinet isu tersebut dimana menurut beliau isu tersebut adalah isu besar yang perlu ditangani.

“Ini isu besar, jangan lihat isu ini hanya untuk dijawab semudah itu, bahkan saya sendiri dan kerajaan belum di maklumkan tentang perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah kesal dengan kenyataan Pengerusi LPPB yang juga ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah yang membuat keputusan gelojoh dan tidak merujuk kepada kerajaan dan Ketua Menteri sebelum membuat sebarang kenyataan dan keputusan.

Menurutnya, Masiung selaku Pengerusi LPBB dan juga wakil rakyat perlu memahami keperitan rakyat, terutamanya golongan B40 dalam keadaan ekonomi yang semakin terjejas ketika ini.

“Beliau (Masiung) perlu bijak bukannya, bertindak seperti seorang yang tidak bijak membuat kenyataan sehingga merungsingkan rakyat terutama penyewa penyewa di PPR di negeri ini,” katanya.

Bung berkata, tuduhan Masiung ada pihak terutamanya pembangkang mempolitikan isu ini juga nampak dangkal dan hanya persepsi beliau, sedangkan ini melibatkan isu kesejahteraan rakyat kemanusian.

“Kita faham ini soal polisi dan dasar yang kita (manusia) gubal, sebagai yang terlibat dalam pengubalan dasar kita juga perlu melihat isu seperti ini dari sudut kemanusiaan,” katanya.

Katanya, kenyataan dari beberapa pihak antaranya Ketua-Ketua UMNO bahagian merupakan keluh kesah rakyat terutamanya penyewa PPR yang perlu disampaikan kepada kerajaan untuk diambil perhatian dan tindakan bukannya berniat mempolitikan isu tersebut.

Dalam pada itu, Bung turut menyokong cadangan agar rumah PPR ini dijual terus kepada penyewa (Sewa Beli) dimana menurut beliau cara ini membolehkan golongan B40 terutamanya penyewa PPR memiliki rumah sendiri.

“Perkara ini telah pun dilaksanakan di beberapa buah PPR di Kuala Lumpur, rumah dijual kepada penyewa dalam kadar yang mampu milik.

“Kita meminta agar kerajaan negeri melakukan rundingan dengan kerajaan pusat khususnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan agar rumah rumah PPR di Sabah juga boleh djual kepada penyewa apatah lagi yang telah menyewa lebih 10 tahun dan membayar sewa tanpa sebarang masalah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|