SMJ Sdn Bhd, balas kepercayaan kerajaan negeri: PERSANTUN

SMJ Sdn Bhd, balas kepercayaan kerajaan negeri: PERSANTUN

KOTA KINABALU: Prestasi memberangsangkan SMJ Sdn Bhd yang menyumbang dividen sebanyak RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah perlu membuka mata semua pihak terutama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri ini.

Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN), Datuk Najib Tay Abdullah berkata, meskipun di label sebagai ‘GLC Termuda’ jika dibandingkan dengan mana-mana syarikat GLC yang lain, SMJ Sdn Bhd sekaligus mempunyai asas tepat dalam pelaksanaan pentadbiran korporat diperkenalkan oleh Ketua Menteri.

Jelasnya, penubuhan SMJ Sdn Bhd yang baru sahaja membuka tirainya pada tahun ini turut menyaksikan pengurusan tadbir minyak dan gas yang dikelolakan oleh syarikat itu membuahkan hasil.

“Sumbangan dividen RM50 juta ini memperlihatkan keupayaan syarikat korporat bagi pengendalian minyak dan gas di Sabah yang berasaskan ilham Sabah First, Sabah Maju Jaya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ia juga sekaligus memberi isyarat bahawa kerajaan negeri melalui syarikat-syarikat dilantik terutama GLC mampu menterjemah hasil dan untung untuk membangunkan ekonomi negeri seperti SMJ Sdn Bhd yang baharu sahaja ditubuhkan ini.

“Jadi ia turut menutup mulut pengkritik yang cuba mempersoalkan keupayaan dan keikhlasan hala tuju SMJ yang dibawa oleh Datuk Seri Hajiji dengan penubuhan syarikat GLC baharu, dan anda boleh lihat hasilnya pada hari ini, “katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, dalam sebuah kenyataan SMJ Sdn Bhd hari ini, pengagihan dividen tersebut merupakan hasil daripada Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang yang mana perolehan 50 peratus kepentingan penyertaan pihak kerajaan negeri pada tahun ini selain peratus kepentingan penyertaan di loji petrokimia Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang.

Sementara itu, bagi Najib Tay, keupayaan-keupayaan syarikat GLC di Sabah perlu diterjemahkan kepada kekuatan hala tuju SMJ bagi memastikan Sabah terus mengukuh dalam pembangunan ekonomi.

“Hari ini, badan berkanun negeri, GLC telah membayar RM138.7 juta dividen kepada kerajaan negeri.

“Kita berharap semua pihak yang dipertanggungjawabkan ini mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk membangunkan ekonomi Sabah secara holistik untuk kerajaan terus berusaha menjayakan agenda rakyat, menghapus kemiskinan dan isu-isu membelenggu rakyat, ” katanya lagi

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|