Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengesahkan beliau telah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat pembelaan berhubung pertuduhan terhadapnya.
Justeru itu, katanya, beliau menyerahkan kepada mereka untuk membuat keputusan lanjut berkenaan perkara itu.
“Ya, saya seorang daripada ADUN Umno Sabah yang dipanggil oleh Lembaga Disiplin Umno untuk membuat pembelaan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang telah dinyatakan. Kita berserah kepada mereka untuk membuat keputusan.
“Selepas semalam, nanti mereka akan membuat keputusan secara rasmi, saya tidak boleh mendahului keputusan mereka. Kita tunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan, Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat 2023 di perkarangan Dewan Sri Putatan, hari ini.
Sebelum ini, Shahelmey bersama empat lagi ADUN Umno Sabah telah menerima surat tatatertib selepas membelakangkan keputusan parti dan menyatakan sokongan terhadap pentadbiran di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, ditanya mengenai tindakan lima ADUN Umno Sabah yang telah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), beliau berkata, ia merupakan hak individu itu masing-masing.
“Saya percaya bahawa tindakan tersebut dibuat atas kesedaran bahawa kepentingan atau kestabilan politik di negeri ini perlu diperkukuhkan.
“Ia agar kita dapat mentadbir negeri ini dan melaksanakan agenda-agenda pembangunan sebagai mana dalam pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Terdahulu, seramai lima ADUN Umno Sabah telah mengumumkan keluar parti dan menyertai Gagasan Rakyat, dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Mereka ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Jasnih Daya ( Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk), Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).
-Deasoka