Sabah alu-alukan RM20 bilion percepat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Sabah alu-alukan RM20 bilion percepat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo

Kota Kinabalu: Pengumuman Kerajaan Persekutuan mengenai peruntukan RM20 bilion bagi mempercepatkan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak amat dialu-alukan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ia bagi membantu mempercepatkan pembinaan Fasa 1 lebuh raya berkenaan di negeri ini.

“Peruntukan untuk negeri Sabah telah ditingkatkan pada tahun 2023, di mana kita akan mendapat peruntukan sebanyak RM6.5 bilion.

“Selaku Menteri Kerja Raya Sabah, saya amat tertarik dengan ucapan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sebanyak RM20 bilion diperuntukkan bagi menyiapkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak.

“Seperti yang kita tahu, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sudah hampir siap. Manakala, pembinaan Fasa 1 di Sabah masih memerlukan peruntukan yang agak banyak untuk kita lengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Karnival Perpaduan Perumahan Daerah Putatan, Komuniti Gerak Rahmah, Jom Sihat 2023 di perkarangan Dewan Sri Putatan, hari ini.

Selain itu, Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan berkata, tumpuan terhadap usaha menaik taraf sekolah-sekolah daif yang terdapat di negara ini turut disambut baik.

Jelasnya, di Sabah, terdapat lebih 402 sekolah yang berada dalam keadaan daif dan perlu dinaik taraf.

“Pada perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, saya juga telah menyentuh mengenai keperluan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembaikan sekolah-sekolah daif yang ada di negeri ini.

“Seperti yang kita tahu, di Sabah terdapat lebih 402 sekolah yang berada dalam keadaan daif dan kenyataan yang diumumkan semalam adalah suatu yang kita amat alu-alukan.

“Begitu juga dengan klinik-klinik kesihatan di negeri ini, di mana banyak berada dalam keadaan usang dan uzur yang perlu kita pertingkatkan.

“Ia bagi memastikan komuniti dan masyarakat kita, sama ada di bandar, pinggir bandar dan juga luar bandar akan mendapat perkhidmatan yang baik dan selamat daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Terdahulu, dalam pembentangan Belanjawan 2023, Anwar telah mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM6.5 bilion yang akan diagihkan kepada Sabah, ia merupakan jumlah yang lebih besar berbanding dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan kerajaan sebelum ini pada Oktober lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|