Sabah diberi taklimat mengenai Triti Laut Sulawesi

Sabah diberi taklimat mengenai Triti Laut Sulawesi

Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diberi taklimat peringkat tinggi mengenai Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun antara Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata, Sabah sentiasa berada dalam gelung perkembangan terkini dan rundingan berterusan untuk menentukan sempadan dan kawasan yang menjadi pertikaian dalam sempadan maritim kita.

“Sabah akan menghormati perjanjian, tetapi kami juga ingin memastikan hak Sabah utuh dan semua isu diselesaikan secara baik (dalam rundingan yang sedang dijalankan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, hari ini.

Katanya, Perjanjian antara Malaysia dan Indonesia Berkaitan Persempadanan Laut Wilayah Dua Negara di Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun semasa lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia telah hangat diperkatakan dalam sidang Parlimen lalu.

“Ia telah dijadikan isu politik dan fakta telah dimanipulasi,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu diberi taklimat bahawa Triti Laut Sulawesi hanya menyentuh sempadan laut wilayah di luar Pulau Sebatik, bukan pelantar benua dan di luar Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Menyampaikan taklimat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Luar Peguam Negara Persekutuan, Alfian Yang Amri; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim Kementerian Luar, Datin Paduka Nur Ashikin Mohd Taib dan Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan, Sr Powzy Mohd Som.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|