Sabah di landasan tepat dapatkan hak 40 peratus hasil bersih – Hajiji

Sabah di landasan tepat dapatkan hak 40 peratus hasil bersih – Hajiji

Kota Kinabalu: Peningkatan RM300 juta pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan merupakan satu lagi petunjuk jelas bahawa Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul ke arah mendapatkan hak Sabah, seperti termaktub dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

“Yakinlah bahawa kita tidak akan berehat sehingga Sabah mendapat apa yang terhutang kepadanya seperti yang termaktub dalam MA63,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri bahawa Sabah tidak pernah melepaskan hak 40 peratus hasil bersih.

“Ini adalah penyelesaian sementara dan seperti yang disebut Fadillah, rundingan masih diteruskan dengan jawatankuasa berasingan untuk menentukan dan memuktamadkan formula pemberian khas tahunan bagi dua negeri Borneo dalam tempoh setahun,” katanya.

Hajiji berkata, Sabah akan terus memperjuangkan hak pemberian khas mengikut Perkara 112C dan Seksyen 2 Bahagian IV dalam Jadual Kesepuluh, serta Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan formula dan kajian semula hak 40 peratus ke atas hasil bersih diperoleh Persekutuan yang berasal dari Sabah.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63 semalam, Fadillah berkata, Sabah dan Sarawak akan menerima geran khas RM300 juta daripada Kerajaan Persekutuan tahun ini.

Geran RM300 juta itu merupakan peningkatan RM40 juta untuk Sabah berikutan geran RM260 juta sebelum ini yang diumumkan Putrajaya untuk negeri itu pada Januari, yang akan dibayar secepat mungkin, kata Fadillah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa MA63.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|