Sabah catat peningkatan KNDK, 3.7 peratus dengan nilai tambah RM81.9 bilion

Sabah catat peningkatan KNDK, 3.7 peratus dengan nilai tambah RM81.9 bilion

Kota Kinabalu: Sabah mencatatkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus dengan nilai tambah RM81.9 bilion berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelum.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Sabah, iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion.


“Pada tahun 2022, KDNK Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion (2021: RM79.0 bilion).


“Pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus telah dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan ADUN Sebatik, Datuk Hassan Awg Gani Pg. Amir berhubung bidang industri utama yang menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah dan penyenaraian industri tersebut mengikut peratusan pendapatan negeri secara keseluruhan bersempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Bangunan DUN Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.


Menurut Abidin, sumbangan sektor ekonomi kepada pendapatan negeri Sabah diukur melalui KDNK, di mana data KDNK bagi negeri hanya diterbitkan secara tahunan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


“Pada masa ini, data rasmi terkini bagi KDNK negeri Sabah adalah setakat tahun 2022 sahaja.
“Data rasmi ini telah diterbitkan oleh DOSM pada 27 Jun 2023,” katanya.


Jelas beliau lagi, meskipun menjadi penyumbang kedua terbesar kepada keseluruhan KDNK Sabah, iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan sebanyak negatif 1.3 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya.


“Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada negatif 4.4 peratus dan subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus.


“Sektor pertanian Sabah pula mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM12.5 bilion pada tahun 2022, iaitu merosot sebanyak negatif 0.2 peratus.


“Walaubagaimanapun, pertumbuhan sektor ini lebih baik daripada penyusutan negatif 2.2 peratus seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya.


“Sektor pertanian merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah,” kata beliau.


Tambah Abidin, bagi subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).


“Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya.


“Penyusutan dalam sektor ini adalah disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan,” katanya.


Untuk sektor pembinaan pula, ia bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya.


“Nilai ditambah sektor ini mencatatkan peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2021 yang disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.


-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|