Kota Kinabalu: Kritikan sesetengah pihak terutamanya pembangkang yang sering mempertikai keupayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mentabdir negeri ini sebenarnya sentiasa terjawab dengan kejayaan demi kejayaan yang direkodkan di Sabah.
Terbaru, jumlah perdagangan negeri telah mencatatkan rekod pertumbuhan tertinggi iaitu peningkatan 35.4 peratus kepada RM118.1 billion pada 2022 berbanding RM87.2 billion tahun sebelumnya.
Presiden Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) Datuk Najib Tay Abdullah berkata, dengan rekod berkenaan, sudah tentu pujian perlu diberikan kepada pentadbiran Hajiji yang telah terbukti berjaya mentabdir negeri Sabah secara mapan selaras dengan misi menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ini sekaligus menurutnya, mematahkan hujah songsang segelintir pihak terutama pembangkang yang hanya dilihat ‘petah bercakap’ dengan kritikan tidak berasas dan sama sekali tidak memberikan apa-apa idea berguna untuk membangunkan Sabah.
“Dengan pengumuman Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir semalam yang menyatakan Sabah mencatatkan jumlah perdagangan dengan rekod pertumbuhan tertinggi, ia memperlihatkan bukti bahawa kerajaan Ketua Menteri sekarang ini buat kerja.
“Selain berada di landasan yang tepat, kejayaan-kejayaan seperti ini juga boleh menjawab kepada tohmahan-tohmahan pihak pembangkang yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan, mengkritik tanpa asas terhadap Ketua Menteri dan dakyah-dakyah songsang untuk menghasut rakyat.
“Padahal hakikatnya, Hajiji dan barisan kabinet serta kesemua yang terlibat bertungkus lumus memajukan Sabah tanpa prejudis dan rakyat perlu menyedari hakikat ini…dan buktinya, seperti mana pengumuman rekod seperti ini, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya, hari ini.
Terdahulu, menerusi kenyataan Perangkawan Malaysia semalam, eksport Sabah turut didedahkan berada dalam pengekalan pertumbuhan positif iaitu 38.6 peratus kepada RM77.2 billion pada 2022 berbanding tahun sebelumnya.
Antara penyumbang utama eksport merupakan petroleum mentah bernilai RM30.3 billion, minyak kelapa sawit (RM21.1 billion) dan gas asli cecair (RM5.2 billion).
Sementara itu, Najib dalam masa yang sama turut mengajak rakyat Sabah untuk terus mempercayai kemampuan Hajiji selaku Ketua Menteri mentadbir negeri dan tidak terhasut dengan pelbagai tohmahan tidak berasas.
“Perkara fakta seumpama ini kita perlulah sokong, jangan butakan hati.
“Saya sedar, kerajaan pemerintah yakni GRS dan rakan-rakan parti lain sering sahaja menjadi sasaran pihak tertentu dengan ada sahaja dijadikan isu.
“Sedangkan mereka ini tidak pula memberikan idea bernas untuk sama-sama majukan Sabah dan lebih bersifat menjatuhkan, ini adalah perkara yang kita perlu tolak sama sekali, “katanya.
-Deasoka