Regatta Lepa Semporna dijangka kembali meriah

Regatta Lepa Semporna dijangka kembali meriah

SEMPORNA: Acara Regatta Lepa Semporna dijangka kembali meriah dan menjadi tumpuan ramai dengan kehadiran pengunjung dari luar daerah, negeri serta negara jiran.

Pegawai Daerah Semporna merangkap Pengerusi Regatta Lepa Alexander Liew berkata, acara ini dilaksanakan secara besar-besaran selepas negara pulih daripada pandemik COVID-19.

Katanya, pihak penganjur akan mengadakan pelbagai acara kebudayaan, seni tradisi Bajau dan sukan laut seperti sambutan sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

“Surat jemputan sudah diedar kepada pemimpin negeri, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan serta wakil-wakil kerajaan daripada negara jiran supaya mereka dapat hadir memeriahkan acara atau festival ini.

“Kita juga menjangkakan lebih 15,000 pengunjung akan hadir dalam festival yang diadakan selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Regatta Lepa Kali Ke-28, di Dataran Lepa, di sini semalam.

Menurutnya, persiapan untuk meraikan festival ini sudah dibuat sejak bulan April lagi dan diharapkan ia akan berjalan dengan lancar sehingga ke hari kemuncaknya.

“Saya optimis festival ini dapat menonjolkan lagi Semporna sebagai daerah yang kaya dengan seni budaya serta keindahan dan kecantikan pulaunya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pelancaran Regatta Lepa dan Menaikan Sambulayang, Adam Shah Mohammad berkata, majlis ini adalah simbolik bermulanya festival Regatta Lepa di daerah ini.

Katanya, majlis pelancaran dan menaikkan sambulayang kali ini berbeza daripada sebelumnya kerana diadakan pelbagai program serta penambahbaikan.

“Sambulayang ini mempunyai maksud tersendiri kerana ia signifikasi nilai dan identiti budaya dalam kehidupan masyarakat Bajau di Semporna.

“Justeru, kita turut mengadakan pelbagai acara termasuklah ratu cilik bujang manis, ratu cilik lellah dorogan, teguguk dan banyak lagi,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|