Projek pembangunan di bawah KKDW diyakini dapat dilaksanakan dengan teratur, cepat – Hajiji

Projek pembangunan di bawah KKDW diyakini dapat dilaksanakan dengan teratur, cepat – Hajiji

Kota Kinabalu: Program dan projek pembangunan untuk negeri ini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diyakini akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah merupakan antara negeri terbesar di Malaysia sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan kemudahan infrastruktur asas dan utiliti.

Beliau berkata, ia termasuk bekalan air, eletrik, jalan luar bandar, liputan komunikasi dan lain-lain.

“Kemudahan infrastruktur asas dan utiliti tersebut amat diperlukan oleh Sabah memandangkan negeri ini agak ketinggalan dalam aspek berkenaan khususnya di kawasan luar bandar.

“Inisiatif turun padang oleh pihak KKDW yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan program dan projek KKDW untuk Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan cepat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan KKDW Bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 dipengerusikannya bersama Ahmad Zahid Hamidi di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Dalam pada itu, sambil mengalu-alukan Mesyuarat Penyelarasan itu yang julung kali diadakan, katanya, ia mampu memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program-program pembangunan KKDW di Negeri Sabah.

“Kerajaan Negeri menyambut baik syor daripada Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat, bahawa projek-projek Persekutuan yang bernilai RM50 juta ke bawah, Kerajaan Negeri bertanggungjawab melaksanakannya dengan menggunakan kepakaran tempatan serta dipantau oleh kementerian yang berkenaan,” katanya.

Tambah Hajiji, Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama kepada Kerajaan Pusat, khususnya KKDW, dalam hal-hal berkaitan pembangunan agar projek-projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat dapat dipercepatkan pelaksanaannya.

Antara yang hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; dan Datuk Rubiah Wang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|