Projek IPD atasi sambungan elektrik haram kawasan setinggan

Projek IPD atasi sambungan elektrik haram kawasan setinggan

SANDAKAN: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam usaha membanteras sambungan haram di kawasan setinggan telah melaksanakan projek interim pembekalan elektrik di kawasan setinggan di sini menggunakan sistem ‘Prepaid bill’ yang pertama di Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, keputusan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga untuk meluluskan konsep dan pelaksanaan projek perintis ‘Independent Power Distributor’ (IPD) di Kampung Forest, Sandakan telah memberi jalan penyelesaian interim terhadap permasalahan penyambungan elektrik secara haram di kawasan berkenaan.

“ Kerugian hasil daripada Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) turut menunjukkan tren
peningkatan di mana pada tahun 2022, SESB mengalami kerugian sebanyak RM21 juta dan
pada tahun ini setakat Ogos, 2023 kerugian dicatatkan sebanyak RM 4 juta,” katanya ketika Taklimat dan Lawatan Tapak Projek IPD Kampung Forest pada Selasa.

Menurut beliau, projek ini memulakan operasinya pada bulan September yang lalu terdapat 711 buah rumah telah mendapat bekalan elektrik yang stabil dan selamat daripada syarikat pengurusan elektrik swasta yang dilantik.

”Syarikat swasta yang dilantik ini juga mempunyai autonomi penuh terhadap hal berkaitan permohonan dan penyambungan bekalan ke rumah penduduk tanpa melalui SESB,”

“Selain itu, infrastruktur pembekalan elektrik seperti tiang dan talian di kawasan kampung juga telahpun dinaiktaraf dan memenuhi piawaian keselamatan agar penyaluran bekalan menjadi lebih stabil serta selamat kepada penduduk yang mendiami setiap rumah di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Disamping itu katanya, infastruktur ini sentiasa dipantau oleh pihak syarikat pengurusan elektrik swasta sistem IPD bagi mengelakkan kejadian vandalisma pada pepasangan sedia ada yang boleh menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna lain.

Jelas beliau, analisa data yang diperolehi mendapati 25% daripada kejadian gangguan bekalan elektrik adalah disebabkan oleh kegiatan penyambungan elektrik secara haram yang dilakukan oleh penduduk di kawasan koloni setinggan yang berhampiran.

Ujarnya statistik daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah juga menganggarkan terdapat 31,470 buah rumah ataupun 224 buah koloni setinggan di seluruh negeri dan jumlah ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun hadapan.

“SESB berharap semua pihak akan menyokong pelaksanaan projek inisiatif ini dan seterusnya menjadi langkah pertama SESB untuk menyelesaikan permasalahan permintaan bekalan elektrik yang sah dan selamat di kawasan koloni setinggan di seluruh Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,”

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|