Program CSR mahasiswa Pendidikan UMS tingkat kemahiran kepimpinan

Program CSR mahasiswa Pendidikan UMS tingkat kemahiran kepimpinan

Kota Kinabalu: Seramai 50 mahasiswa Kursus Pendidikan dengan TESL, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai Program Khidmat Masyarakat (CSR).

Program CSR yang dianjurkan di Pusat Tuisyen Raisul, Kalasanan Inanam itu bertujuan untuk membantu dan memberi manfaat kepada para pelajar di pusat pembelajaran alternatif tersebut.

Penyampaian cenderamata kepada kakitangan Pusat Tuisyen Raisul oleh kakitangan FPP UMS.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan kesedaran mengenai keadaan di Pusat Tuisyen Raisul sekali gus memberi peluang untuk mendidik pelajar-pelajar dengan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan.

Pengarah Program CSR berkenaan, Michelle Anne Tai berkata, penganjuran program ini amat membantu dalam meningkatkan kemahiran kepimpinan para peserta.

Murid dan guru Pusat Tuisyen Raisul bersama mahasiswa dan pensyarah UMS.

“Sebagai guru pelatih, projek CSR ini telah memberikan kami pendedahan yang cukup baik kepada keadaan sebenar yang dihadapi oleh guru semasa mengajar dalam bilik darjah.

“Antara pengetahuan dan pengalaman baharu yang diperoleh melalui program ini adalah merangkumi proses penyediaan bahan bantu mengajar (BBM) yang efektif dan sesuai dengan tahap pembelajaran murid-murid di Pusat Tuisyen Raisul.

“Saya amat bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk mengarah program ini serta berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan program ini,” katanya.

Manakala, Ketua Aktiviti salah sebuah program, Jasde’neesha berkata, aktiviti CSR memberikan peluang kepada semua untuk menjadi lebih berani dan bersedia untuk proses pengajaran dan pemudahcaraan pada masa hadapan.

“Selain itu, aktiviti ini telah membuka mata saya sebagai seorang pelajar apabila melihat murid-murid Pusat Tuisyen Raisul berkeinginan besar untuk menimba ilmu.

“Harapan saya adalah untuk dapat melibatkan diri lagi dalam aktiviti-aktiviti seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Lee Mei Jin berkata, sepanjang program sesi pengenalan diri dijalankan, mereka merasa dekat dengan murid-murid atas respon yang aktif dan meriah.

“Program ini mungkin tidak akan berjalan dengan lancar tanpa bantuan kerjasama daripada pihak-pihak yang terlibat khususnya para guru Pusat Tuisyen Raisul.

“Kami amat bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk menyertai program seperti ini dan kami berharap untuk menyertai lebih banyak program CSR pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktiviti Charades, Aida Sakinah berpendapat bahawa pengalaman yang mereka perolehi amat menyeronokkan.

“Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa tidak semua kanak-kanak mempunyai peluang yang sama dalam pelajaran.

“Oleh itu saya berpendapat bahawa program seperti ini haruslah diperbanyak untuk membantu mereka yang berkeperluan,” katanya.

Terdahulu, antara aktiviti yang diadakan termasuklah sesi pengenalan “Ice Breaking: Who Am I?”, aktiviti “Where Shall I go?” dan “Charade” sebelum diakhiri dengan aktiviti utama iaitu membaca bersama para pelajar di pusat tuisyen itu.

Program sehari ini diiringi empat pensyarah iaitu Ketua Program Pendidikan dengan TESL, Dr. Wirawati Ngui dan Profesor Madya Dr. Suyansah Swanto, Dr. Asmaa Al-Saqqaf serta Dr. Noraini Said.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|