KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi penekanan untuk terus berkerja kuat demi rakyat sebelum ‘tempoh matang’ Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka menjelma dalam dua tahun lagi.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak menerima ilham atau bayangan mengenai kemungkinan PRN diawalkan namun begitu, beliau selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) komited untuk menguatkan iltizam parti dan berkerja untuk rakyat.
“Kita belum lagi dapat ilham (PRN) tetapi kita ada dua tahun lagi.
“Sebagai Presiden parti saya ingin mengingatkan pimpinan semua peringkat, termasuklah sayap-sayap untuk bersedia dan menggerakkan jentera parti.
“Dua tahun bukan lama, akhir tempoh kita ini ialah bulan Oktober tahun 2025…jadi kita kena bekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan media berhubung kemungkinan PRN ke-17 Sabah diawalkan selepas ditemui dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PGRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Mengulas mengenai PAT, Hajiji ternyata berpuas hati dengan perjalanan dan intipati perhimpunan berkenaan selain melihat PGRS semakin diterima di kalangan rakyat Sabah.
“Saya amat gembira sekali dengan kerana semua bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan telah pun bermesyuarat dan telah menghantar perwakilan masing-masing ke mesyuarat yang pertama ini.
“Jadi ini adalah sesuatu yang cukup baik kerana kita boleh dapat gambaran bagaimana penerimaan parti ini di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran bekas-bekas Ketua Menteri Sabah ke PAT PGRS kali ini, beliau menambah, ia dilihat sebagai satu sokongan moral kepada beliau dalam persidangan berkenaan.
Antara yang hadir memberi sokongan adalah Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Osu Sukam.
“Saya tidak boleh tafsirkan tetapi saya rasa begitulah.
“Mereka hadir untuk memberi sokongan moral kepada saya dan juga kepada persidangan ini,” katanya lagi.
Tambahnya, beliau telah menjemput pemimpin-pemimpin veteran sama ada yang masih lagi aktif dan tidak aktif untuk hadir ke PAT berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada perjuangan politik di Sabah.
“Semua bekas-bekas Ketua Menteri saya ada jemput tetapi ada, yang tidak berada di Sabah.
“Ini adalah dengan tujuan kita ucapkan penghargaan dan sebagai penasihat pandangan kepada kita dalam perjuangan ini… kita amat menghargai kehadiran mereka semua,” katanya.
Deasoka