Kuala Lumpur: Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre meramalkan keputusan tiga sama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri di Semenanjung Malaysia, esok.
Menurut laporan dikeluarkan pada hari ini di laman web ilhamcentre.my, status quo melibatkan kerajaan PH/BN dan Perikatan Nasional (PN) bakal mendominasi kerusi di negeri yang ditadbir masing-masing.
Kelantan, Terengganu dan Kedah diramal masih kekal PN manakala PH/BN tetap mengekalkan tiga negeri mereka, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Mengikut kajian Ilham Centre juga, faktor undi Melayu bakal menjadi tarikan menarik kepada tempoh mengundi esok dengan dijangka PN mampu membuat kejutan manakala PH/BN tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan sokongan daripada pengundi-pengundi bukan Melayu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan bebas itu turut meletakkan tiga elemen yang bakal menentukan keputusan PRN enam negeri berkenaan iaitu peratus keluar mengundi, kebolehpindahan undi PH/BN dan ayunan undi muda.
Untuk rekod, PRN enam negeri berkenaan melibatkan jumlah pemilih seramai 9,773,571 orang yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.
-Deasoka