PPN Sabah sambut baik TPM Fadillah terajui kementerian baharu

PPN Sabah sambut baik TPM Fadillah terajui kementerian baharu

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menyambut baik Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadillah Yusof yang kini menyandang portfolio kementerian baharu dalam rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, Fadillah yang kini menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam merupakan portfolio penting yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PPN Sabah menyambut baik TPM Datuk Seri Fadillah Yusof kini menyandang kementerian yang baru diwujudkan, sekaligus bertanggungjawab dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mohd Nazri yang mengenali Datuk Seri Fadillah Yusof sejak beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri lagi yakin dengan pengalaman luas kawan baik nya itu dalam pentadbiran di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri, beliau dapat menggalas tanggungjawab baharu ini.

“Begitu juga urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak, beliau dapat memenuhi harapan rakyat kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak terutama yang melibatkan tuntutan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas rombakan Kabinet Persekutuan yang diumumkan oleh Anwar pada Selasa.

Anwar dalam sidang media mengumumkan barisan Kabinet baharu itu berkata, Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam adalah kementerian baharu pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Katanya, Fadillah, yang merupakan TPM pertama dari blok Borneo, dipertanggungjawabkan dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

“Kerana kita menjadikan urusan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai urusan Jemaah Menteri secara langsung dan kebertanggungjawaban saya dan Fadillah, maka tidak diadakan menteri urusan Sabah dan Sarawak.

“Ini akan diuruskan sendiri oleh timbalan perdana menteri (Fadillah),” kata beliau.

Portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal-Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.

Armizan juga sebelum ini memangku jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Julai lepas dan dalam rombakan Kabinet hari ini, dilantik sebagai menteri penuh portfolio berkenaan.Fadillah sebelum ini memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|